AM

RM129 JUTA UNTUK PROGRAM PERTANIAN DI SARAWAK - ARTHUR 

14/08/2025 12:36 PM

KUCHING, 14 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM129 juta untuk Sarawak bagi melaksanakan program serta projek di bawah agenda keterjaminan makanan negara sepanjang 2025.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata peruntukan itu meliputi 61 projek pembangunan utama seperti pembangunan industri padi dan beras di kawasan Lundu dan Batang Lupar.

“Selain itu, sebanyak RM36.7 juta turut diluluskan di bawah Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah melibatkan pelaksanaan 12 projek di bawah Fasa 1 dan Fasa 2.

“Peruntukan disalur dan pelaksanaan projek strategik itu cerminan kesepakatan utuh antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak demi mendukung serta memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara secara menyeluruh dan bersepadu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas majlis penutupan Persidangan Padi Kebangsaan 2025 yang diadakan di sini semalam.

Persidangan bertemakan “Gelombang Padi Ke Arah Keterjaminan Makanan Negara” itu diadakan untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai penemuan dalam kajian serta pembangunan padi dan beras, di samping meningkatkan kerjasama antara penggubal dasar, penyelidik, petani, pemain industri dan usahawan dari seluruh negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan