KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah dicadang bekerjasama membangunkan sektor ekonomi biru sebagai strategi untuk melonjakkan Sabah sebagai bakul makanan utama Malaysia.
Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan (GRS-Keningau) dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini berkata potensi besar Sabah dalam sektor perikanan, pertanian dan penternakan perlu diterokai secara menyeluruh.
“Ia perlu dilaksanakan menerusi pendekatan baharu yang merangkumi keseluruhan rantaian industri dan bukan sekadar pelaksanaan projek secara berasingan,” katanya.
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) pula meminta kerajaan memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan projek pembangunan di Sabah bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai rakyat Negeri Di Bawah Bayu itu.
Beliau berkata pembangunan terbabit termasuk bekalan air, sekolah daif dan pelaksanaan Projek Pan Borneo untuk memastikan keseimbangan pembangunan antara Sabah dengan negeri lain.
Sementara itu, Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) berkata Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memberi tumpuan kepada pembinaan blok tambahan di sekolah kritikal luar bandar bagi mengatasi masalah kekurangan bilik darjah yang memaksa penyatuan kelas dan pelaksanaan sekolah dua sesi.
“Pendidikan luar bandar perlu diperkasa melalui kemudahan prasekolah, pendedahan awal teknologi kecerdasan buatan dan peralatan digital interaktif supaya anak-anak mendapat peluang pembelajaran setara,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kewujudan sebuah sekolah sukan Malaysia di Sarawak bagi mencungkil bakat atlet muda luar bandar, selaras dengan kejayaan atlet terjun Datuk Pandelela Rinong dan Bryan Nickson Lomas dari negeri itu.
Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubuk Antu) mencadangkan supaya Lubuk Antu dibangunkan sebagai pelabuhan darat di Sarawak memandangkan kedudukannya yang hampir dengan bandar utama di Kalimantan, selain merupakan antara pintu masuk dari Kalimantan ke negeri berkenaan.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA