BACHOK, 14 Ogos (Bernama) -- Polis Kelantan sedang giat mencari seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Surau Budi, Jalan Tawang, di sini sejak Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Mohd Azrie Sulaiman berkata remaja berkenaan, dikenali sebagai Nurul Ain Najihah Tuan Perang, dilaporkan hilang oleh bapanya, Tuan Perang Raja Husin, pada pukul 6 pagi selepas mendapati anak perempuannya tiada di bilik tidur.
“Kali terakhir mangsa dilihat ialah pada pukul 11.30 malam Isnin di rumah mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azrie berkata remaja itu tidak bersekolah sejak Tingkatan Satu, tidak memiliki telefon bimbit, dan didapati keluar dari rumah membawa dompet serta kad pengenalan.
“Kami memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok di talian 09-7782222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.
-- BERNAMA