KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang diperluaskan kepada kluster kesihatan bermula hari ini bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Julina Johan berkata kempen yang dilaksanakan sejak 2024 sebelum ini hanya melibatkan lima kluster tetapi tahun ini sektor kesihatan dijadikan antara tumpuan utama bagi memberi impak lebih meluas.
“Pelancaran kempen bagi kluster kesihatan telah diadakan di peringkat kementerian itu baru-baru ini, disempurnakan oleh Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) dan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) merupakan lokasi permulaan kempen.
“Insya-Allah, menyusul selepas ini di Hospital Orang Asli Gombak dan Klinik Kesihatan Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Pagi HRC bertemakan Kemerdekaan-Malaysia MADANI Rakyat Disantuni: Inspirasi Nyalaan Transformasi di sini hari ini.
Julina berkata usaha mengibarkan Jalur Gemilang tidak hanya tertumpu di premis kerajaan tetapi juga digalakkan di premis perniagaan, kediaman persendirian dan kawasan komuniti setempat.
“Di Kuala Lumpur kita bekerjasama rapat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur manakala di Putrajaya kita mendapat sokongan Perbadanan Putrajaya dan persatuan di kuarters kerajaan untuk mempromosi dan menggerakkan kempen di peringkat akar umbi.
“Semangat patriotisme itu perlu ada, jadi ayuh kita rakyat Malaysia sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.
Pada masa sama, Julina turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa memastikan bendera yang dikibarkan berada dalam keadaan baik dan digantung dengan cara yang betul sebagai tanda hormat kepada simbol negara itu.
“Kalau bendera sudah lusuh, kita juga galakkan ia diganti baharu kemudian barulah digantung. Kita juga ada menerbitkan e-buku panduan pemasangan bendera yang boleh diakses media dan orang awam bagi menangani isu pemasangan bendera secara terbalik.
"Selain itu, orang ramai juga boleh merujuk panduan lengkap tatacara pemasangan Jalur Gemilang di portal Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA