PUTRAJAYA, 15 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Muttaqin 5R6 di Presint 5 di sini sebelum menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 (MAPPA XX).
Ketibaan Anwar pada kira-kira 1.20 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, pengurusan masjid serta jemaah yang hadir.
Beliau bersama hampir 500 jemaah seterusnya mendengar khutbah bertajuk "Gerakan Era Baharu, Ancaman Halus Keimanan" yang disampaikan oleh Imam masjid berkenaan Muhamad Nabil Fitri Badri.
Perdana Menteri selepas itu dijadualkan menyampaikan amanat penting kepada penjawat awam pada acara kemuncak MAPPA XX pada 3.30 petang ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Beliau dijangka bakal berkongsi aspirasi yang ingin dicapai negara, peranan dimainkan penjawat awam serta mengumumkan beberapa perkara yang melibatkan perkhidmatan awam.
Ketua Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Dr Saharah Sapiyi dilaporkan berkata MAPPA XX yang bertemakan "Perkhidmatan Awam MADANI Teras Kecemerlangan" itu bukan sekadar platform warga perkhidmatan mendengar aspirasi kepimpinan negara, malah juga sebagai ruang menilai dan menghayati nilai-nilai Malaysia MADANI.
-- BERNAMA