KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Kerja-kerja pembinaan Kapal Misi Pelbagai Guna (MPSP) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah bermula dengan upacara keel laying atau peletakan lunas di Limbungan DESAN Kaptanoglu, Turkiye semalam.
Upacara itu, yang disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Kejuruteraan APMM Laksamana Pertama Maritim Mohd Rizal Hishamuddin bersama Pengarah Projek MPMS Kepten Maritim Mohammad Nasir Man, menandakan permulaan penyambungan blok-blok utama kapal terbesar dalam sejarah agensi berkenaan.
Mohd Rizal berkata fasa awal keel laying itu melibatkan pemasangan blok 107, 108, 207 dan 208 yang membentuk bahagian tengah kapal.
“Tradisi keel laying ini tanda bermulanya proses penyambungan blok utama dan membawa simbolik tersendiri kepada pembinaan sebuah aset strategik negara,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata MPMS yang berukuran 99 meter panjang dan 17 meter lebar direka untuk beroperasi di laut dalam hingga 28 hari tanpa ulang bekal dan ia akan digunakan untuk pengawasan di Zon Ekonomi Eksklusif serta memantau kawasan yang tidak dapat dicapai oleh kapal kecil.
Dilengkapi teknologi pertahanan canggih, Mohd Rizal berkata MPMS akan memiliki kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), meriam 30mm, radar X dan S band, tapak pendaratan helikopter, sebuah Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB), serta empat bot Fast Interceptor Craft.
“MPMS mampu bergerak pada kelajuan 20 knot dan menempatkan 70 anak kapal bersama 20 penumpang selain memiliki kemudahan bilik rawatan serta bilik tahanan,” katanya.
Pengerusi Lembaga DESAN Kaptanoglu Shipyard Cenk Ismail Kaptanoglu dalam kenyataan sama memaklumkan pencapaian fasa keel laying dalam tempoh singkat selepas kontrak ditandatangani pada 20 Mei lepas membuktikan kecekapan dan komitmen semua pihak.
“Blok keluli yang dipasang hari ini bukan sahaja menjadi tulang belakang MPMS malah menjadi simbol hubungan strategik dan kesungguhan Turkiye-Malaysia memperkukuh keselamatan maritim... seperti projek-projek kami sebelum ini, kami yakin MPMS ini dapat diserahkan lebih awal daripada jadual pada Mac 2027,” katanya.
Apabila siap kelak, MPMS akan menjadi antara aset utama APMM dalam menjaga keselamatan perairan negara, membanteras jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan aktiviti perikanan haram di laut lepas.
Projek itu turut mendapat kerjasama syarikat industri pertahanan gergasi Turkiye seperti Aselsan dan Havelsan yang bertanggungjawab terhadap integrasi sistem persenjataan, elektronik serta komunikasi canggih.
-- BERNAMA