AM

KUPANG PORT DICKSON BELUM SELAMAT DIMAKAN, SAMPEL KETIGA DIAMBIL

15/08/2025 05:18 PM

SEREMBAN, 15 Ogos (Bernama) -- Ujian makmal bagi sampel kedua yang dilakukan Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur (PBPKL) Selasa lepas terhadap kupang dan kerang-kerangan di perairan Port Dickson mendapati bacaan biotoksin masih melebihi 800 per bilion (ppb).

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) Kasim Tawe berkata justeru makanan laut itu masih tidak selamat kerana boleh menyebabkan masalah kesihatan dan larangan memakannya masih dikuatkuasakan.

“Untuk sampel yang kita ambil Selasa lepas di dua lokasi iaitu di perairan Kampung Teluk dan Sungai Sekawang mendapati bacaan biotoksin masih melebihi had. Sampel ketiga akan diambil pada minggu depan.

“Berikutan keputusan sampel kedua masih melebihi paras yang dibenarkan, JPNS akan mengambil sampel dan memantau keadaan setiap minggu hingga keputusan paras biotoksin rendah daripada paras yang dibenarkan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak mengutip, mengambil atau menuai kerang-kerangan di perairan itu untuk sementara waktu.

Media sebelum ini melaporkan Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang mendakwa mengesan fenomena yang dipercayai ledakan alga di Perairan Pasir Panjang serta mengeluarkan hebahan larangan penjualan dan penuaian sumber kerang-kerangan (dwicengkerang) dari perairan Port Dickson.

Sementara itu, Kasim berkata pengusaha dan penternak melalui sistem pancang dan panggar kupang dari Sungai Sekawang ke Tanjung Teluk, Pasir Panjang diminta menghentikan sementara kerja mengambil, mengutip, mengeluar dan menuai kerang-kerangan dari perairan Port Dickson berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata larangan itu dikeluarkan hingga siasatan dijalankan JPNS selesai dan orang awam dinasihatkan untuk tidak memakan kerang-kerangan dari kawasan terbabit bagi mengelakkan risiko keracunan makanan.

“Ini susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kes Ledakan Alga Berbahaya (HAB) di Perairan Port Dickson menetapkan bahawa kandungan biotoksin pada sampel kupang yang diambil pada 6 Ogos dan 12 Ogos mempunyai kandungan toksin Paralytic Shellfish Poisoning melebihi paras parameter 800 ppb,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan