AM

PM ANWAR RAI KETUA PENASIHAT BANGLADESH DALAM JAMUAN TENGAH HARI

12/08/2025 01:05 PM

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan jamuan tengah hari bagi meraikan Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh Prof Dr Muhammad Yunus, yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia.

Anwar dan Muhammad Yunus yang tiba bersama menaiki kenderaan sama pada 11.32 pagi, disambut dengan laungan “Selamat Datang ke Malaysia” oleh murid-murid Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1), diiringi persembahan tarian Tingkah MADANI oleh penari Istana Budaya.

Turut hadir ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Terdahulu, Muhammad Yunus diberi sambutan rasmi di Perdana Putra diikuti mesyuarat dua hala bersama Anwar.

Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh dan delegasi rasmi beliau tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi selama tiga hari atas undangan Anwar.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan Muhammad Yunus bersama beberapa penasihat dan pegawai kanan kerajaan itu adalah sebagai kunjungan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke Bangladesh pada Oktober 2024.

Pada 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM13.35 bilion (USD2.92 bilion), meningkat 5.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bangladesh merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan destinasi eksport utama di Asia Selatan. Eksport utama Malaysia ke Bangladesh termasuk produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia, manakala import terdiri daripada tekstil, kasut, produk petroleum dan barangan pembuatan.

Lawatan ini dijangka dapat memperkukuh hubungan dua hala serta menggalakkan kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama, berlandaskan asas kukuh yang telah terjalin sejak hubungan diplomatik dimeterai pada 1972.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan