KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Langkah sementara bagi menguruskan kenaikan kos perubatan dlihat kekal berkesan, berikutan inisiaif berterusan akan mengukuhkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan membantu membendung inflasi premium insurans perubatan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata dalam tempoh tiga tahun ini, kerajaan telah melaksanakan lima teras utama dan 11 cadangan yang bermatlamat menambah baik perkhidmatan perubatan, meningkatkan pelaksanaan dan menangani kenaikan kos premium insurans kesihatan.
"Sebagai contoh, kami sedang merombak semula produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT). Anda mungkin dapat melihat produk asasnya, dan sedang mengujinya secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata rombakan MHIT melibatkan penambahbaikan produk asas, yang dijangka selesai menjelang hujung tahun ini dan dilaksanakan di kawasan terpilih tahun depan.
Inisiatif lain, katanya, merangkumi usaha memperkukuh sistem kesihatan digital, memperluas pilihan penjagaan kesihatan yang menjimatkan kos, memanfaatkan penyedia penjagaan primer bagi mengurangkan kos pelaksanaan serta mentransformasi mekanisme pembayaran penjagaan primer menggunakan peralatan digital.
"Segala usaha ini dijangka akan mengurangkan kos pembayaran dan memastikan sistem penjagaan kesihatan yang lebih mampan," kata Abdul Rasheed.
Pada Disember lepas, BNM mengumumkan langkah sementara bersama industri insurans dan takaful bagi membantu pemegang polisi yang berdepan semakan semula premium untuk produk MHIT mereka, bertujuan mengurangkan beban kewangan segera mereka sambil mengekalkan perlindungan.
-- BERNAMA