KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Imbangan akaun semasa Malaysia dijangka kekal mencatatkan lebihan antara 1.5 peratus hingga 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata lebihan akaun semasa yang lebih kecil iaitu sebanyak RM300 juta atau satu peratus daripada KDNK yang dicatatkan pada suku kedua 2025 itu disebabkan terutama oleh faktor kitaran seperti penyelenggaraan berjadual yang menjejaskan pengeluaran komoditi.
Keadaan itu telah menyebabkan penurunan sebanyak RM5.1 bilion dari suku ke suku dalam eksport berkaitan perlombongan dan peningkatan ketara import modal susulan pelaksanaan pelaburan pusat data.
"Secara keseluruhan, imbangan akaun semasa bagi separuh pertama tahun ini kekal baik pada 1.7 peratus daripada KDNK berbanding 0.9 peratus pada separuh pertama 2024," katanya pada sidang media selepas mengumumkan prestasi KDNK Malaysia bagi suku kedua 2025 di sini, hari ini.
Beliau turut mengulangi bahawa peningkatan import modal akan mengukuhkan eksport Malaysia dalam jangka masa panjang memandangkan pengoperasian pelaburan pusat data dijangka menyumbang kepada eksport perkhidmatan.
“Kita sudah mula melihat sebahagian kesannya. Selain itu, penerimaan hasil pelancongan yang lebih tinggi didorong oleh peningkatan kemasukan pelancong yang berterusan dijangka membantu mengurangkan lagi defisit akaun perkhidmatan,” katanya.
Abdul Rasheed berkata perkembangan yang memberangsangkan itu dijangka berterusan sehingga 2026, disokong oleh inisiatif kerajaan seperti penambahbaikan kesambungan penerbangan dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sementara itu, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia pada suku kedua 2025 mencatatkan aliran masuk yang lebih kecil iaitu RM1.6 bilion berbanding RM15.6 bilion pada suku pertama 2025.
Prestasi itu terutamanya disebabkan oleh aliran masuk berterusan suntikan ekuiti dan aliran masuk instrumen hutang yang lebih tinggi, katanya yang turut serta dalam sidang media itu.
Beliau berkata bagaimanapun, aliran masuk ekuiti dan hutang itu sebahagiannya telah diimbangi oleh aliran keluar pelaburan semula pendapatan, susulan pembayaran dividen yang lebih tinggi dan kerugian yang dicatatkan oleh beberapa syarikat asing dalam sektor pembuatan.
“FDI ini disalurkan terutamanya kepada sektor perkhidmatan, khususnya dalam aktiviti kewangan serta subsektor maklumat, komunikasi dan telekomunikasi. FDI tersebut kebanyakannya dari Singapura, Jepun dan United Kingdom,” katanya.
-- BERNAMA