AM

POLIS TAHAN TIGA LELAKI, BONGKAR MAKMAL PROSES HEROIN DI BUKIT TAMBUN

15/08/2025 07:57 PM

NIBONG TEBAL, 15 Ogos (Bernama) -- Tiga lelaki termasuk seorang warga Sri Lanka ditahan dalam serbuan di kawasan Bukit Tambun di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Jay January Siowou berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang telah melakukan serbuan sebelum menahan ketiga-tiga suspek berusia 25 hingga 46 tahun itu.

"Serbuan pertama pada 4.29 petang di sebuah rumah di Taman Tambun Permai, polis menahan dua lelaki tempatan bersama dadah jenis heroin seberat 1,113 gram (g), heroin base (641g), kafein (4kg), beberapa bahan kimia dan peralatan disyaki alat memproses dadah.

"Serbuan kedua di sebuah rumah tidak jauh dari kediaman pertama iaitu kira-kira 5.04 petang, kami menahan seorang lelaki warga Sri Lanka bersama kafein sebanyak 26kg, kesemua dadah dirampas di dua serbuan tersebut bernilai RM74,500," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati rumah pertama dijadikan makmal memproses dadah dengan seorang daripada suspek warga tempatan itu merupakan dalang utama dan mempunyai kepakaran memproses heroin.

Jay berkata dua lagi suspek berperanan sebagai pembantu dan penghantar dadah serta bahan kimia untuk sindiket itu dan dengan kegiatan tersebut mereka dipercayai hidup mewah walaupun tidak bekerja.

Beliau berkata hasil risikan mendapati kegiatan pemprosesan dadah yang dijalankan oleh sindiket berkenaan telah bergiat aktif sejak Januari lepas dan heroin yang diproses adalah untuk pasaran tempatan.

"Dua lelaki tempatan yang dtahan itu mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, manakala lelaki Sri Lanka tiada rekod lampau," katanya keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 49,500 penagih.

Beliau berkata polis menyita empat buah kenderaan iaitu dua kereta jenis Toyota Velfire dan Honda Civic serta dua buah motosikal Yamaha LC135 yang kesemuanya bernilai RM134,500.

"Kesemua dadah dan kenderaan yang disita dalam serbuan itu bernilai RM209,000. Tiga lelaki itu kini direman selama tujuh hari hingga 19 Ogos bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan