PUTRAJAYA, 15 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelbagai inisiatif baharu bagi memperkukuh perkhidmatan awam termasuk penambahbaikan skim Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pemberian Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) serta peruntukan dana bagi memperkasa Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Beliau berkata langkah itu selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kecekapan, profesionalisme dan kebajikan penjawat awam di semua peringkat sekali gus memastikan agenda pembangunan negara dapat dilaksana dengan lebih berkesan.
“Kerajaan bersetuju memperluas tujuh kelayakan masuk pelbagai bagi Skim Perkhidmatan Askar-Lasykar Angkatan Tetap ATM Gred Z1 (Tugas Khusus) seperti Kor Perubatan, Kor Agama dan Kor Kejuruteraan selain meluaskan Insentif Berasaskan Prestasi (BIPs) kepada anggota lain-lain pangkat iaitu Sarjan Setaraf (Gred Z4) dan Staf Sarjan Setaraf (Gred Z5).
“Tempoh perkhidmatan yang melayakkan BIPs juga dipendekkan daripada enam tahun kepada empat tahun, memberi manfaat kepada 3,789 anggota dengan implikasi RM6.47 juta setahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) Tahun 2025 anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama INTAN di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan Menteri Kabinet antaranya Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan barisan ketua setiausaha kementerian turut menghadiri majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu.
Majlis hari ini turut menyaksikan pelancaran Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam berkuat kuasa 1 Sept ini.
Mengenai HPA, Anwar berkata kerajaan memperuntukkan RM75.7 juta untuk memberi insentif kewangan sekali sepanjang perkhidmatan kepada pegawai awam yang menamatkan pengajian lebih tinggi menggunakan perbelanjaan sendiri.
Beliau berkata insentif itu merangkumi RM1,250 untuk ijazah kedoktoran, RM1,000 bagi ijazah sarjana, RM750 bagi ijazah sarjana muda dan RM500 bagi diploma atau setaraf.
Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan memperuntukkan RM3 juta untuk memperkasa INTAN sebagai pusat rujukan kecemerlangan perkhidmatan awam di rantau Asia dan global termasuk penyelidikan dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan dan blok rantai, pengurusan organisasi serta penerbitan INTAN Country Report.
Beliau turut mengumumkan kesinambungan Program APEL.Q @ INTAN bagi tahun 2026 dengan peruntukan RM1.5 juta serta pemansuhan syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi kemudahan cuti haji penjawat awam yang dilantik secara tetap.
MAPPA XX menjadi platform penting bagi memperkukuh semangat, iltizam dan profesionalisme warga perkhidmatan awam dalam menyokong agenda pembangunan negara.
-- BERNAMA