EKONOMI

JOHOR PLANTATIONS TERBIT SUKU WAKALAH KELESTARIAN-IMTN BERNILAI RM200 JUTA

15/08/2025 07:30 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Johor Plantations Group Bhd (JPG) telah menerbitkan Siri Kedua Sukuk Wakalah-Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN), Sukuk Wakalah Kelestarian-IMTN pertamanya bernilai RM200 juta dalam nilai nominal di bawah program IMTN tersebut.

Kumpulan itu melalui satu kenyataan memberitahu sukuk bertempoh 10 tahun itu, yang matang menjelang 15 Ogos 2035, menawarkan kadar agihan berkala sebanyak 3.70 peratus setahun.

“Kadar yang menggalakkan yang dicapai dalam terbitan sukuk ini mencerminkan keyakinan pelabur yang kukuh terhadap JPG. 

“Dengan kadar terlebih langgan akhir sebanyak 4.93 kali ke atas Sukuk Wakalah Kelestarian-IMTN kami semasa proses penetapan harga, menggariskan permintaan yang kuat serta kepercayaan pelabur dalam komitmen kelestarian dan prestasi operasi kami yang mantap, meletakkan syarikat ini dengan baik untuk pertumbuhan masa depan,” katanya.

JPG berkata hasil daripada terbitan sukuk ini akan digunakan bagi membiayai perbelanjaan modal yang mematuhi syariah untuk Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu JPG (ISPOC), yang dikategorikan sebagai sebuah projek mesra alam yang layak di bawah rangka kerja itu. 

 Maybank Investment Bank Bhd adalah penasihat utama dan penasihat penstrukturan kelestarian untuk program Sukuk Wakalah berkenaan.

“Pengurus utama bersama untuk program Sukuk Wakalah itu adalah CIMB Investment Bank Bhd serta Maybank Investment Bank Bhd.

Sementara itu, Affin Hwang Investment Bank Bhd, Aminvestment Bank Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd merupakan pengurus utama bersama untuk program Sukuk Wakalah dan penerbitan sukuk tersebut,” katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan