IPOH, 16 Ogos (Bernama) -- Projek Pembangunan Ipoh Sentral (Ipoh Sentral) yang berlandaskan Agenda Pengangkutan Hijau Bandar Pintar Perak 2030 dirancang untuk mengubah Ipoh menjadi hab pengangkutan yang moden, mampan dan keterhubungan baik.
Agenda berkenaan juga memelihara warisan budaya bandar serta memperkukuh ikatan komuniti.
Ipoh Sentral Sdn Bhd dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata projek ini yang dibina berlandaskan prinsip pembangunan berorientasikan transit (TOD) akan mengintegrasikan perkhidmatan rel, bas, teksi, e-hailing, laluan pejalan kaki dan lorong berbasikal secara menyeluruh dan lancar.
Kenyataan itu berkata, semua perkhidmatan berkenaan akan dibangunkan dalam kawasan bandar pelbagai guna yang meriah serta menggalakkan budaya berjalan kaki, mengurangkan kebergantungan kepada kereta dan menyokong ekosistem mobiliti yang lebih bersih selain rendah karbon.
Menurut kenyataan berkenaan, prinsip teras dalam pelan induk Ipoh Sentral iaitu komitmennya untuk menghormati dan memperkasakan tempat ibadat komuniti sedia ada.
Lokasi strategik iaitu bertentangan dengan Stesen Keretapi Ipoh yang bersejarah, kerja tanah Ipoh Sentral dimulakan secara rasmi hari ini dalam satu majlis pecah tanah yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Kenyataan itu menambah, Fasa 1 pembangunan projek ini akan merangkumi sebuah taman awam mercu tanda yang akan berfungsi sebagai ruang komuniti bagi menggalakkan gaya hidup sihat, aktiviti rekreasi dan interaksi masyarakat di Regat Tun Perak.
Taman awam itu juga menampilkan sebuah masjid baharu yang direka bentuk supaya seiring dengan landskap sekeliling serta mencerminkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian.
Kenyataan itu berkata, Ipoh Sentral yang merangkumi keluasan 27.1139 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM6.25 bilion akan dibangunkan dalam dua fasa.
Fasa 1 melibatkan penambahbaikan landskap dan rekreasi termasuk pembinaan taman awam dengan sebuah masjid serta pengintegrasian tempat ibadat komuniti berdekatan dalam satu zon sivik yang harmoni.
Fasa 2 pula merangkumi pembangunan pelbagai guna yang terdiri daripada pangsapuri servis, ruang pejabat, premis runcit, hotel dan kemudahan komuniti tambahan.
“Projek ini dijangka menjana antara 8,000 hingga 9,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan dan lebih 10,000 peluang pekerjaan selepas siap sepenuhnya sekali gus merancakkan peluang dalam sektor pembinaan, perkhidmatan, logistik dan perdagangan.
“Projek ini juga akan meningkatkan daya tarikan pelancongan Perak dengan mengambil kira 10.2 juta pelawat domestik dan pertumbuhan 12 peratus dalam ketibaan pelancong antarabangsa yang direkodkan pada 2024,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut iaitu dengan sambungan rel terus ke KL Sentral dan Penang Sentral serta kedudukannya yang berhampiran dengan Lebuhraya Utara–Selatan, Ipoh Sentral bakal menjadi pintu masuk utama rantau ini bagi pelancongan, perdagangan dan pertukaran budaya.
Pada 2024, perkhidmatan tren elektrik (ETS) membawa seramai 4.13 juta penumpang manakala laluan Komuter Utara Butterworth–Ipoh mencatatkan peningkatan sebanyak 29 peratus dalam jumlah penumpang harian sejak ia dilancarkan pada September 2023, satu bukti jelas terhadap permintaan yang semakin meningkat bagi perjalanan antara bandar yang cekap.
“Berdasarkan kejayaan KL Sentral sebagai model penciptaan peluang ekonomi, Ipoh Sentral dijangka berfungsi sebagai lanjutan kepada KL Sentral, memberikan manfaat yang serupa kepada rakyat Perak dan kawasan sekitarnya,” kata kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan juga menyebut iaitu Ipoh Sentral juga menggalakkan para profesional yang bekerja di bandar-bandar seperti Pulau Pinang atau Kuala Lumpur untuk mempertimbangkan dengan menjadikan Ipoh sebagai tempat tinggal sambil membolehkan mereka yang bekerja di Ipoh untuk menetap di negeri lain.
Menurut kenyataan itu, dengan rangkaian pengangkutan yang cekap dan berhubung baik pada hari ini, tinggal di satu negeri dan bekerja di negeri lain menjadi satu realiti yang lancar selain membolehkan kualiti hidup yang lebih tinggi sambil kekal berhubung dengan pusat-pusat ekonomi utama.
Ipoh Sentral Sdn Bhd merupakan usaha sama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang menggabungkan Railway Assets Holding Sdn Bhd (RAH), dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di bawah Kerajaan Persekutuan; Silver Smart Sdn Bhd (SSSB), anak syarikat Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) Perak di bawah Kerajaan Negeri serta Country Annexe Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh MRCB.
-- BERNAMA