KUALA TERENGGANU, 16 Ogos (Bernama) -- Karnival Kerjaya MyFutureJobs X Oil & Gas anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada orang ramai khususnya dalam bidang minyak dan gas.
PERKESO dalam kenyataan hari ini memaklumkan program yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Duyong Marina Centre di sini, menghimpunkan banyak syarikat peneraju industri minyak dan gas seperti Eastern Pacifif Industrial Corporation (EPIC Sdn Bhd), Perdana Petroleum, Hibiscus Petroleum Bhd, EnQuest PLC, Petra Energy Bhd dan PING Petroleum Limited.
Pelbagai jawatan berkemahiran tinggi yang jarang diiklankan secara terbuka ditawarkan pada karnival berkenaan dengan tawaran gaji menjangkau sehingga RM50,000.
“Antara prospek pekerjaan yang ditawarkan ialah dalam bidang teknikal, kejuruteraan, geologi, keselamatan dan kesihatan pekerjaan (HSE) dan maritim.
“Jawatan yang ditawarkan termasuk pengarah projek dengan gaji antara RM39,000 hingga RM53,000 sebulan, pengurus projek dengan gaji maksimum sehingga RM49,000 sebulan dan pengurus HSE dengan gaji maksimum RM22,500 sebulan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan selain menawarkan peluang pekerjaan, Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas juga menyediakan platform kepada orang ramai membina rangkaian profesional serta mendapatkan panduan terus daripada pakar.
Sesi semakan resume oleh tokoh berpengalaman dari syarikat Shell Asia Tenggara umpamanya mampu memberi panduan dan khidmat nasihat kepada orang ramai untuk menghasilkan resume dan vitae kurikulum (CV) berkualiti tinggi dan profesional.
“Kita juga mengadakan sesi ‘Tingkatkan Kebolehpasaran Anda’ bersama jurulatih sumber manusia bertauliah dan berpengalaman untuk meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja.
“Oleh itu, orang ramai terutama graduan jangan lepaskan peluang ini untuk mendapat gaji permulaan premium bermula RM3,500 ke atas. Bagi memudahkan proses permohonan, orang ramai boleh membuat prapendaftaran di laman sesawang https://www.myfuturejobs.gov.my dan hadir dengan resume serta CV terkini,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA