NILAI, 16 Ogos (Bernama) -- Program Satelit Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat (PMR) yang berlangsung di sini hari ini menjadi platform terbaik dalam merapatkan hubungan kerajaan dengan rakyat selain menyebarluaskan maklumat awal mengenai PMR peringkat Negeri Sembilan pada 22 hingga 24 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J. Arul Kumar berkata karnival berkonsep libat urus bersama masyarakat itu dimeriahkan dengan pelbagai acara yang bermanfaat kepada penduduk setempat.
“Pelbagai pengisian turut diadakan termasuk pameran agensi kerajaan, kaunter perkhidmatan utama, Jualan Rahmah, taklimat isu semasa serta program kemasyarakatan bagi menguar-uarkan dasar dan inisiatif kerajaan kepada masyarakat.
“Penganjuran karnival ini membuktikan semangat kebersamaan, perpaduan serta keterangkuman masyarakat di negeri ini, selain menjadi platform terbaik merapatkan hubungan kerajaan dengan rakyat melalui penyampaian maklumat sahih dan komprehensif,” katanya ketika berucap pada program itu hari ini.
Karnival anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu dimulakan dengan solat subuh di Masjid Al-Azim disusuli aktiviti senamrobik, fun walk sejauh tiga kilometer dan gotong-royong memasak Kenduri Rakyat di Taman Semarak di sini.
Arul berkata hubungan baik agensi kerajaan dan rakyat perlu diperkukuhkan kerana memberi kelebihan dua hala iaitu rakyat mendapat maklumat dan perkhidmatan manakala kerajaan memperoleh sokongan, maklum balas dan keberkesanan dalam pelaksanaan dasar.
Program itu, menurut beliau akan terus menjadi wadah mengeratkan hubungan rakyat dan kerajaan, memperkukuh perpaduan serta memperkasakan kesejahteraan komuniti, seiring aspirasi Malaysia MADANI.
Dalam pada itu, Arul berkata PMR peringkat negeri bertemakan “Digital Merentasi Generasi, Memperkasa Komuniti” merupakan manifestasi kepada komitmen berterusan kerajaan dalam mendigitalisasikan negara dengan matlamat meningkatkan kualiti hidup serta memacu masa depan yang berteknologi tinggi dengan berpaksikan nilai kemanusiaan dan keadilan sosial.
PMR Negeri Sembilan yang akan berlangsung di Dataran Nilai di sini dijangka menarik kehadiran lebih 25,000 pengunjung dengan acara kemuncak perasmian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari terakhir program.
-- BERNAMA