KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Akses segera kepada metadata komunikasi termasuk rekod panggilan, alamat protokol Internet (IP) dan data geolokasi amat penting dalam usaha membanteras jenayah serius seperti penipuan siber, eksploitasi kanak-kanak serta keganasan.
Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya Dr Haezreena Begum Abdul Hamid berkata akses berkenaan amat penting dari segi perundangan dan kriminologi, khususnya dalam menangani jenayah berasaskan teknologi berkembang pesat, dengan sebarang kelewatan boleh menjejaskan siasatan serta keselamatan awam.
“Dari perspektif undang-undang, akses ini memastikan bukti diperoleh secara sah, dipelihara dan boleh diterima di mahkamah di samping mematuhi keperluan proses sewajarnya serta membolehkan tindakan siasatan segera diambil sebelum data kritikal hilang.
“Dari perspektif kriminologi pula, akses pantas membantu mengenal pasti suspek dengan cepat, mengekang rangkaian jenayah serta melindungi mangsa khususnya dalam kesalahan berasaskan teknologi canggih, dengan sedikit kelewatan boleh menyebabkan peluang mencegah mudarat atau mendapatkan sabitan terlepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Haezreena Begum berkata kerangka kerja standard bagi penyimpanan, pemeliharaan dan pendedahan data merentasi semua penyedia perkhidmatan perlu diwujudkan bagi mengatasi ketidakselarasan, menutup jurang keterangan serta memastikan pematuhan seragam terhadap kewajipan dan perlindungan berkanun.
"Dari segi perundangan, langkah ini akan mengurangkan pertikaian berkaitan kebolehterimaan dan bidang kuasa. Dari sudut kriminologi, ia dapat melancarkan proses, meminimumkan kelewatan serta memastikan akses segera terhadap bukti penting, sekali gus meningkatkan peluang mengekang kegiatan jenayah dan memperoleh sabitan, di samping mengekalkan kepercayaan awam,” katanya.
Merujuk contoh peringkat antarabangsa, beliau berkata Arahan Penyimpanan Data Kesatuan Eropah terdahulu serta Akta Penyimpanan Data Australia 2015 membuktikan bahawa rangka kerja seragam mampu memperkukuh siasatan rentas sempadan dan menyokong penguatkuasaan undang-undang, dengan syarat ia disertakan mekanisme pengawasan serta perlindungan kukuh.
Sambil menyambut baik cadangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mewujudkan kerangka seumpama itu sejajar dengan perkembangan pesat teknologi dan ancaman jenayah siber yang semakin meningkat, beliau berkata kegagalan melaksanakan sistem konsisten yang diwajibkan undang-undang boleh mengancam keselamatan awam.
“Dari sudut perundangan, ia boleh menyebabkan ketidakselarasan pematuhan dalam kalangan penyedia perkhidmatan hingga mengakibatkan bukti penting dipadam sebelum akses sah diperoleh. Keadaan ini menimbulkan jurang keterangan, melemahkan pendakwaan dan boleh menjejaskan keluhuran proses keadilan.
“Dari perspektif kriminologi pula, penyimpanan data tidak konsisten menjejaskan siasatan, melambatkan proses mengenal pasti suspek, selain memberi ruang kepada penjenayah khususnya kes jenayah siber, eksploitasi kanak-kanak dan keganasan untuk mengambil kesempatan terhadap penyedia perkhidmatan yang mempunyai dasar penyimpanan singkat atau langsung tiada sebagai ‘tempat selamat’.
"Petunjuk yang hilang melemahkan sesuatu kes dan mengurangkan keupayaan pihak penguat kuasa undang-undang untuk melumpuhkan rangkaian jenayah, mencegah kesalahan berulang serta melindungi mangsa,” katanya.
Haezreena Begum berkata kebimbangan terhadap privasi mesti ditangani melalui perlindungan kukuh termasuk akses yang dibenarkan, pengawasan kehakiman dan dasar penyimpanan terhad kepada metadata sahaja.
Dari sudut perundangan, beliau berkata langkah berkenaan membantu memastikan prinsip kesaksamaan, penggunaan secara terarah dan akses sah terhadap data hanya bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang yang sah, sekali gus mengurangkan risiko pemantauan massa atau pencerobohan sewenang-wenangnya.
Dari segi perspektif kriminologi pula, beliau berkata penyimpanan metadata dengan kebenaran rasmi mampu mengekalkan keberkesanan siasatan di samping melindungi privasi manakala keyakinan awam bergantung kepada pengawasan tegas, had jelas terhadap kesalahan serius serta tempoh simpanan yang tidak melebihi keperluan.
Beliau turut menekankan keperluan mewujudkan rangka kerja perundangan yang jelas bagi mentakrifkan data boleh dipelihara seperti rekod panggilan, alamat IP dan data lokasi, selain menetapkan tempoh simpanan oleh penyedia perkhidmatan sambil menegaskan kepentingannya melangkaui siasatan segera.
“Perintah pemeliharaan data segera dapat mengelakkan kehilangan bukti bersifat sementara, manakala rantaian jagaan yang terjamin memastikan integriti serta kebolehterimaan di mahkamah. Pengawasan kehakiman serta perlindungan prinsip kesaksamaan menjadi benteng terhadap penyalahgunaan, manakala mekanisme rentas sempadan yang berkesan, seperti perjanjian bantuan perundangan bersama, membolehkan akses sah terhadap data disimpan di luar negara,” katanya.
Beliau berkata mekanisme pemeliharaan data yang kukuh bukan sahaja menyokong siasatan malah berupaya mencegah jenayah dengan meningkatkan kebarangkalian pengesanan serta pendakwaan, namun langkah itu mesti dilaksanakan secara berimbang, telus dan menghormati hak asasi.
Haezreena Begum turut menggesa orang ramai menyertai sesi libat urus MCMC berhubung cadangan rangka kerja itu, sambil menekankan bahawa ia peluang terbaik untuk mengambil kira pelbagai pandangan, menangani kebimbangan serta menambah baik rangka kerja berkenaan agar seimbang antara pencegahan jenayah dan kebebasan sivil.
-- BERNAMA