AM

SULTAN NAZRIN BERANGKAT KE PROGRAM MENYEMAI SEMANGAT KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

16/08/2025 11:31 PM

IPOH, 16 Ogos (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara Sempena Bulan Kemerdekaan Peringkat Perak 2025 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini malam ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim diiringi Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.

Hadir sama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah.

Program anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak itu, bertujuan membentuk rakyat Malaysia yang mempunyai identiti nasional dengan pemahaman dan penghayatan terhadap prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

Beberapa acara dan pertandingan telah diadakan termasuk pertandingan pidato diraja, menulis esei, mengarang sajak, melukis karikatur, melukis poster, bicara berirama dan sebutan korus. 

Pada malam ini program turut diserikan dengan persembahan daripada pemenang pertandingan berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Negeri Safuan Raba’ai dalam sembah ucapannya berkata program itu bukan saja dapat mencungkil bakat murid, malah menjadi wadah dalam membina jati diri, menanam nilai kesetiaan kepada Raja dan Negara, serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan murid.

“Setiap aktiviti yang disertai murid menjadi kelas kehidupan untuk murid menghayati prinsip Sistem Raja Berperlembagaan, memahami sejarahnya dan mempraktikkan nilai hormat, perpaduan serta mengamalkan nilai murni dalam memelihara kedaulatan negara.

“Usaha ini sejajar dengan aspirasi membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berakhlak mulia, berfikiran kritis, berjiwa patriotik, menghargai warisan negara dan mampu menjadi pemimpin berwibawa pada masa hadapan,” katanya.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan pidato Bahasa Melayu sekolah menengah atas yang dimenangi Ifwat Arrafi Mohd Amin daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abd Razak, Bagan Datuk manakala A. Sandra Ann daripada SMK St Bernadette’s Convent, Kinta Selatan mengungguli pertandingan pidato Bahasa Inggeris sekolah menengah atas.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah bagi bicara berirama, sebutan korus dan koir bagi peringkat sekolah rendah, menengah rendah serta menengah atas.

Tuanku Zara pula berkenan menyampaikan hadiah kategori pertandingan menulis esei, mengarang sajak, melukis poster dan melukis karikatur, bagi kategori sama.

Baginda berdua kemudian berkenan melawat ke pameran lukisan dan karikatur sebelum meninggalkan majlis pada jam 10.30 malam.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan