AM

YAYASAN TAQWA-MAIWP SALUR SUMBANGAN RM50,000 NAIK TARAF SURAU KG CHEMPEROH, PAHANG

16/08/2025 09:39 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan sumbangan bantuan bernilai RM50,000 bagi menaik taraf Surau At-Taqwa Kampung Chemperoh, Janda Baik, Pahang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata bantuan itu, akan digunakan bagi kerja-kerja pembangunan dan baik pulih surau berkenaan bagi kegunaan penduduk kampung.

“Saya turut meninjau keadaan surau serta mendengar sendiri keperluan yang bakal diberi perhatian melalui dana ini.

“Semoga usaha menaik taraf surau ini menjadikan ia lebih selesa, kondusif serta terus mengimarahkan syiar Islam di kampung ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau meninjau dan menziarahi penduduk kampung itu serta menyerahkan cek cura kepada pihak pengurusan surau.

Selain itu Mohd Naim turut berkesempatan menziarahi Ma’ahad An-Noer, sebuah pusat pengajian tinggi Islam dan al-Quran yang diasaskan Al-Mursyid Al-Allamah Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.

Beliau berkata maahad itu amat berperanan besar dalam melahirkan ilmuan Islam dan huffaz Al-Quran yang menjadi aset berharga kepada ummah.

Sehubungan itu, bagi menyokong usaha murni tersebut, beliau turut meluluskan bantuan segera berjumlah RM20,000 untuk membantu melaksanakan program serta aktiviti pendidikan yang dirancang oleh ma’ahad berkenaan.

“Semoga sumbangan ini memperkukuh peranan Ma’ahad An-Noer dalam mendidik generasi muda dengan ilmu agama, penghayatan al-Quran serta membina kepimpinan berteraskan nilai Islam.

“Moga usaha kecil ini menjadi asbab kebaikan yang berkekalan, demi kemaslahatan umah dan kesejahteraan negara,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan