MELAKA, 17 Ogos (Bernama) -- Polis memohon orang awam membantu siasatan kejadian seekor anjing disiat kulit pada badan dan kepala hidup-hidup di kawasan perindustrian Krubong di sini, yang turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kejadian itu disedari wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) haiwan pada 3 petang Jumaat, sebelum pihaknya menerima laporan polis pada 2.43 petang hari ini.
“Wakil NGO tersebut telah ke lokasi kejadian berdekatan sebuah kilang selepas mendapat maklumat seekor anjing cedera dan pemeriksaan mendapati haiwan itu mengalami luka parah dipercayai didera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Christopher berkata seorang individu telah membawa anjing itu ke klinik haiwan dan doktor veterinar mengesahkan kecederaan serta jangkitan kuman dialami haiwan tersebut terlalu serius.
“Anjing itu telah ditidurkan secara eutanasia bagi mengelakkan penderitaan berpanjangan atas nasihat doktor,” katanya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Rizal Kiraman menerusi talian 013-7702523.
-- BERNAMA