JENAYAH & MAHKAMAH

KANAK-KANAK 12 TAHUN DIKHUATIRI LEMAS KETIKA MANDI SUNGAI DI DUNGUN

17/08/2025 10:30 AM

DUNGUN, 17 Ogos (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi-manda bersama empat rakan di Sungai Kampung Delong, di sini pada 5.54 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata pihaknya menggerakkan pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan MERS 999 daripada orang awam.

Beliau berkata sehingga kini operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pasukan keselamatan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih belum berhasil menemukan mangsa.

"Mangsa yang berasal dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dipercayai dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama rakan.

“Usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama bomba dan agensi penyelamat lain,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook Polis Dungun.

Dalam pada itu, Maizura mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mengelak aktiviti di kawasan sungai atau lokasi berisiko tinggi, khususnya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan