GAZA CITY/ISTANBUL, 17 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Badan perubatan Doktors Without Borders (MSF) pada Sabtu memaklumkan jumlah penduduk Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Gaza meningkat tiga kali ganda sejak akhir Mei, ketika sistem kesihatan di wilayah itu bergelut untuk terus berfungsi, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Timbalan penyelaras perubatan MSF di Gaza, Mohammed Abu Mughaisib berkata dalam satu mesej video bahawa pusat pengagihan makanan yang diwujudkan di bawah badan disokong Israel dan Amerika Syarikat, dikenali sebagai Gaza Relief Organisation, kini bertukar menjadi “kawasan maut” dan bukan tempat selamat untuk orang awam.
“Apa yang tinggal daripada sektor kesihatan hanyalah rangka rapuh dan kini ia berdepan kedahsyatan baharu,” katanya.
Beliau berkata ramai yang cedera tidak sempat tiba di hospital dalam keadaan bernyawa.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, hampir 1,924 orang terbunuh dan lebih 14,000 cedera ketika menunggu bantuan di pusat-pusat berkenaan sejak 27 Mei, iaitu tarikh skim yang dikendalikan Israel itu bermula.
Abu Mughaisib menegaskan bahawa pembedahan kecemasan serta rawatan rapi yang sudah lama lumpuh akibat perang berbulan-bulan kini hampir runtuh di segelintir hospital yang masih beroperasi.
Beliau menggesa gencatan senjata segera serta akses kemanusiaan tanpa sekatan, sambil memberi amaran bahawa tanpa langkah itu “tidak akan ada apa-apa lagi yang tinggal untuk diselamatkan — tiada hospital, tiada pesakit, bahkan tiada masa depan.”
Israel membunuh 61,900 rakyat Palestin di Gaza sejak Oktober 2023.
Operasi ketenteraan itu telah memusnahkan wilayah berkenaan dan membawanya ke ambang kebuluran.
Pada November tahun lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung peperangan di wilayah itu.
-- BERNAMA-ANADOLU