AM

MALAM HIMPUNAN DAN SELAWAT MALAYSIAKU BERSAMA GAZA DI DATARAN MERDEKA AHAD DEPAN

17/08/2025 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- “Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza” akan diadakan di Dataran Merdeka pada 24 Ogos ini bersempena Karnival Sumud Nusantara 2025.

Karnival Sumud Nusantara 2025 anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia dengan kerjasama strategik daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan MyAqsaDefender itu akan berlangsung selama tiga hari mulai 22 Ogos.

Jurucakap sekretariat penganjur berkata acara pada Ahad depan itu akan bermula 5 petang dengan ketibaan Konvoi Sumud Nusantara, diikuti pidato umum tokoh dan aktivis Gaza, solat Maghrib berjemaah serta solat hajat perdana dipimpin Sheikh Abdul Karim Omar Al-Fatani Al-Makki.

"Pengisian program termasuk 'Tausiyah Peduli Ummah' oleh Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, diikuti majlis selawat dan qasidah oleh kumpulan Az Zahir," katanya kepada Bernama.

Lebih istimewa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir dan menyampaikan syarahan khas pada malam kemuncak itu.

Acara utama malam itu termasuk pelepasan simbolik delegasi Sumud Nusantara untuk Flotilla Gaza dan bacaan Doa Qunut Nazilah sebelum berakhir pada tengah malam.

Sumud Nusantara merupakan inisiatif Gabungan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menghimpunkan lebih 70 kapal dari 39 negara termasuk Sepanyol dan Tunisia, bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan dan mendesak pengakhiran sekatan terhadap Gaza melalui laluan laut.

Sementara itu, Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid yang juga Penasihat Sumud Flotilla berkata misi tersebut akan disertai pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dari Asia Barat, Eropah, ASEAN dan Amerika Latin sebagai usaha menyampaikan mesej global.

Beliau berkata penglibatan kerajaan amat penting untuk memastikan kelancaran misi ini dan penyampaian mesej kemanusiaan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.

"Rakyat Gaza bukan untuk dihalau. Solidariti umat Islam mesti bangkit. Bantuan kemanusiaan mesti sampai. Dunia tidak boleh membiarkan penindasan Israel terus berlaku. Masjid, NGO serta rakyat perlu bersatu untuk menegakkan keadilan dan membela hak asasi manusia," katanya.

Mohd Azmi yang juga dikenali sebagai Cikgu Azmi mengajak orang ramai supaya hadir dengan membawa tikar, sejadah dan payung sendiri, serta digalakkan memakai pakaian putih sebagai simbol sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.

"Pengunjung digalakkan hadir dengan pakaian bertemakan putih serta membawa simbol ‘Gaza Bangkit’ sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan