TUMPAT, 17 Ogos (Bernama) -- Pemasangan kawat berduri di laluan sejauh 1.8 kilometer dari Pos Ibrahim Pencen ke Jambatan Muhibbah di Rantau Panjang, Pasir Mas perlu dipercepatkan bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata laluan berkenaan merupakan antara kawasan yang sering digunakan penduduk untuk menyeberang sempadan secara haram termasuk menyeludup pelbagai jenis barangan.
Beliau berkata sebelum ini pemasangan kawat berduri pernah dilakukan di pangkalan haram dekat Bukit Lata yang bersempadan dengan pekan Mundok, Thailand, namun telah dirosakkan oleh kumpulan penyeludup.
"Kita bimbang aktiviti penyeludupan khususnya dadah, senjata api dan pendatang tanpa izin semakin berleluasa jika benteng keselamatan tidak diperkukuh segera.
"Kerajaan negeri juga bersetuju dengan cadangan ini, malah sebelum ini kita turut mengemukakan cadangan yang sama kepada pihak Thailand," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi Datuk Luqman Ahmad di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, di sini hari ini.
Dalam lawatan berkenaan, beliau turut memohon kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya kemudahan dan pos kawalan di sepanjang sempadan dipertingkatkan agar sesuai dengan penugasan anggota PGA.
"Kamera litar tertutup (CCTV) dan dron pemantauan amat diperlukan. Pos yang siap sepenuhnya setakat ini ada dua dan kita berharap dapat diserahkan kepada PGA secepat mungkin.
"Selain itu, PGA juga telah memohon pembinaan lapan lagi pos kawalan baharu terutama di kawasan tumpuan seperti Pulau Tengkorak serta Sungai Mentua di Pengkalan Kubor. Pada masa sama, kita juga mencadangkan pembinaan satu pos di pangkalan haram Syed Agil dekat Rantau Panjang supaya keberadaan anggota bertugas di situ dapat mencegah aktiviti jenayah," katanya.
Nik Ros Azhan berkata langkah ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memperkukuh kawalan sempadan, namun pada masa sama rakyat tempatan juga perlu berubah dan tidak lagi menjadikan aktiviti menyeludup barang sebagai sumber pendapatan.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata 128 jeti haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Rantau Panjang, Pasir Mas bakal dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas mendapat surat kebenaran daripada kerajaan negeri.
-- BERNAMA