PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Kejayaan Pasukan Robotik Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) pada edisi ke-30 Piala FIRA Roboworld dan Sidang Kemuncak 2025 di Daegu, Korea Selatan, diharap dapat menjadi pemangkin semangat dan meningkatkan motivasi pelajar untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr Shamsuri Abdullah berkata kejayaan seumpama itu harus diteruskan berbekalkan kepada pengalaman yang ditimba peserta sepanjang kejohanan itu berlangsung.
“Tahniah kepada semua pihak yang terlibat sehingga pasukan POLYCC mampu mencipta kejayaan yang begitu cemerlang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan itu meraih keseluruhan 13 pingat iaitu lima emas, tiga perak dan lima gangsa menerusi empat kategori dipertandingkan, iaitu HuroCup, Autonomous Car Challenge, Air-Drone Autonomous Race dan Air-Drone Emergency Service, sekali gus mengatasi sasaran awal 10 pingat.
Seramai 16 pelajar bersama lima pensyarah pengiring daripada empat politeknik iaitu Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Politeknik Port Dickson (PPD) dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) mewakili POLYCC pada kejohanan itu yang telah berlangsung dari 11 hingga 15 Ogos lepas.
Kesemua peserta selamat tiba di tanah air semalam dan disambut oleh Shamsuri di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 (T1).
Untuk rekod, pasukan PPD dinobatkan sebagai Anugerah Permulaan Teknikal Terbaik bagi kategori Inovasi dan Perniagaan pada Piala FIRA Roboworld 2024 di Maranhao, Sao Luiz, Brazil.
Pasukan PSAS dan PSIS pula pernah mengungguli saingan kategori HuroCup dengan masing-masing memperoleh satu emas, satu perak dan satu gangsa pada Piala FIRA Roboworld 2023 yang berlangsung di Wolfenbuttel, Jerman.
-- BERNAMA