KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Pasukan Robotik Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) menyasarkan 10 pingat emas daripada 17 kategori dipertandingkan pada edisi ke-30 Piala FIRA Roboworld dan Sidang Kemuncak 2025 yang akan berlangsung dari 11 hingga 15 Ogos ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata pasukan dianggotai 16 pelajar itu akan berlepas ke Daegu, Korea Selatan pada Jumaat ini.
“Kita buat saringan di setiap Politeknik dan dibawa ke peringkat nasional dan akhirnya kita mengenal pasti peserta-peserta yang kita bawa untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Kita harapkan mereka akan dapat memenangi kejohanan ini dan yang paling penting kita mahu mereka meningkatkan daya saing.
“Mereka juga dapat memaknai atau dapat ilmu baharu bila mereka bersaing di sana dan dapat belajar kemahiran mengendalikan robot dan bersaing dengan peserta negara-negara lain. Ini penting untuk kita menyediakan negara ini menjadi negara maju,” katanya pada majlis pelepasan pasukan di Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Datuk Dr Mohd Zahari Ismail, barisan pengurusan tertinggi dan pegawai JPPKK serta para peserta dan pensyarah pengiring.
Kumpulan pelajar bersama lima pensyarah pengiring itu mewakili POLYCC dalam empat kategori pertandingan iaitu HuroCup, Autonomous Car Challenge, Air-Drone Autonomous Race dan Air-Drone Emergency Service.
Pasukan FIRA POLYCC diwakili oleh empat institusi iaitu Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Politeknik Port Dickson (PPD) dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah.
Mustapha berkata pihaknya menawarkan insentif RM1,000 bagi setiap pingat emas yang berjaya diraih pasukan berkenaan.
Beliau juga menyifatkan pasukan itu sebagai duta kecil yang membawa imej negara dan POLYCC bagi membuktikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia bukan pendidikan kelas kedua tetapi mampu diangkat ke peringkat antarabangsa.
Untuk rekod, pasukan PPD dinobatkan sebagai Anugerah Permulaan Teknikal Terbaik bagi kategori Inovasi dan Perniagaan pada Piala FIRA Roboworld 2024 di Maranhao, Sao Luiz, Brazil.
Pasukan PSAS dan PSIS pula pernah mengungguli saingan kategori HuroCup dengan masing-masing memperoleh satu emas, satu perak dan satu gangsa pada Piala FIRA Roboworld 2023 yang berlangsung di Wolfenbuttel, Jerman.
-- BERNAMA