AM

DVS RAMPAS 114 TAN METRIK KARKAS BABI BERNILAI LEBIH RM3 JUTA

18/08/2025 12:35 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) merampas 114 tan metrik karkas babi dianggarkan bernilai RM3.05 juta melibatkan pemindahan karkas babi tanpa kebenaran dalam 18 kes rampasan dari 2024 hingga Julai lepas.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata rampasan dilakukan di premis jualan dan stor penyimpanan karkas babi sejuk beku yang disyaki diimport tanpa kebenaran di Kelantan, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Labuan.

Beliau berkata dalam tempoh sama, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) turut menggagalkan beberapa cubaan penyeludupan haram daging khinzir melibatkan 24 tangkapan dengan jumlah dagangan sebanyak 640 tan metrik.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui MAQIS dan DVS sentiasa mengambil langkah tegas bagi mengawal pengimportan dan membanteras aktiviti penyeludupan haram daging khinzir dari luar negara terutama dari negara yang dikenal pasti mempunyai penularan penyakit berbahaya,”  katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Arthur menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berhubung tindakan penguatkuasaan MAQIS ke atas pengimportan dan penyeludupan haram daging khinzir dari luar negara terutama dari Thailand dan negara lain yang mempunyai wabak Streptococcus Suis dan African Swine Fever (ASF), serta jumlah tangkapan yang dibuat ke atas aktiviti penyeludupan haram daging khinzir di semua pintu masuk negara tahun ini.

Beliau berkata kawalan pengimportan dilaksanakan oleh MAQIS adalah melalui mekanisme pemeriksaan dokumen termasuk keperluan import permit dan sijil kesihatan veterinar serta pemeriksaan fizikal kontena di pintu masuk sempadan negara. 

Selain itu, persampelan terhadap produk khinzir juga dijalankan bagi memastikan produk tersebut bebas daripada sebarang penyakit sebelum dibenarkan masuk.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan