KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Tiada sebarang cubaan penutupan kes atau cover-up sepanjang proses siasatan kes kematian pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir, tegas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata segala tindakan dan siasatan yang diambil berdasarkan fakta, laporan dan permohonan yang sah.
Saifuddin Nasution berkata tuduhan mengatakan bahawa kes berkenaan cuba ditutup dan dimanipulasi adalah tuduhan sangat berat yang tidak mencerminkan realiti tindakan pihak berkuasa daripada awal hingga kini.
“Dari awal hinggalah proses bedah siasat dibuat dan siasatan lanjutan, tiada sebarang cubaan penutupan kes atau cover up oleh mana-mana pihak berkuasa. Komitmen kepada keadilan mesti berlandaskan bukti dan undang-undang.
“Kes ini ialah satu perkara yang sangat berat, sangat serius melibatkan kehilangan nyawa adik Zara Qairina yang berumur 13 tahun … kita mesti lakukan siasatan secara profesional dan telus, bukti yang sahih mengikut peruntukan lunas undang-undang,” katanya pada sesi penerangan menteri selepas tamat sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
-- BERNAMA