KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan sewaan penjana Express Powerr Solutions (M) Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 24 Sept 2025, menjangka meraih RM36.0 juta menerusi tawaran awam permulaannya (IPO).
Harga IPO yang ditetapkan pada 20 sen sesaham, menyediakan kepada syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM186.9 juta selepas penyenaraian, berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 934.4 juta saham.
Pengarah Urusannya Lim Cheng Ten berkata, hasil itu akan membolehkan syarikat menambahkan jumlah penjananya sebanyak sekurang-kurangnya 36 unit lagi dan membeli peralatan voltan sederhana dan tinggi untuk menyokong sasaran pengembangan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Lim berkata Tenaga Nasional Bhd dijangka kekal sebagai penyumbang hasil terbesar Express Powerr, walaupun pergantungannya telah menurun kepada 60 peratus pada 2024 daripada 95 peratus sebelum ini.
"Kami melihat peluang dalam sektor minyak dan gas pada masa depan dengan kuasa terjamin, berkapasiti tinggi menjadi kritikal, terutamanya di luar pantai dan di kawasan pedalaman. Kami merancang untuk terus meneroka bidang ini pada suku keempat tahun ini," katanya pada majlis pelancaran prospektus syarikat itu, di sini, hari ini.
Beliau berkata dengan 27 projek minyak dan gas bernilai RM4.46 bilion diluluskan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024, permintaan terhadap set penjana bagi aktiviti eksplorasi dan penggerudian dijangka meningkat.
Bagi memberi ganjaran kepada pemegang saham, Lim berkata syarikat itu melaksanakan dasar dividen sebanyak 30-50 peratus daripada keuntungan bersih.
Mengenai pempelbagaian, beliau berkata perniagaan solar kumpulan itu masih di peringkat awal dan tidak akan diberi tumpuan dalam tempoh terdekat ini.
Sebaliknya, Express Powerr menyasar mengembangkan kehadirannya di beberapa buah negeri lagi dengan menambah Pulau Pinang dan Kelantan dalam liputan operasinya selepas Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Sabah.
Beliau juga berkata walaupun pusat data berkembang pesat di Johor, Express Powerr tidak membekalkan set penjananya kerana pusat data biasanya membeli terus daripada pengeluar.
"Bagaimanapun, kami boleh menyokong mereka semasa kecemasan," katanya.
Sementara itu Lim berkata IPO tersebut akan melibatkan penerbitan awam 180 juta saham baharu, mewakili 19.3 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan, dan tawaran jualan 65.4 juta saham sedia ada (7.0 peratus).
“Daripada 180 juta saham baharu, 46.7 juta akan ditawarkan kepada orang awam menerusi undian saham, 18.7 juta diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan penyumbang yang layak (borang merah jambu), 63.2 juta kepada pelabur terpilih, dan 51.4 juta dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Sebanyak 65.4 juta saham tawaran juga akan ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI,” katanya.
Tarikh tutup permohonan adalah pada 8 Sept, 2025, pada pukul 5 petang.
Pada masa ini, Express Powerr mengendalikan sebanyak 115 unit penjana dengan 70 peratus daripadanya adalah set dipasang trak mudah alih.
Hampir tiga perempat daripada armada itu terdiri daripada penjana besar 500 kilovolt-ampere (kVA) dan ke atas, sesuai untuk penggunaan permintaan tinggi.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024, hasil kumpulan meningkat kepada RM70.2 juta daripada RM19.3 juta pada 2021, membawa kepada kadar pertumbuhan tahunan kompaun tiga tahun (CAGR) sebanyak 53.7 peratus.
Keuntungan bersih meningkat pada CAGR 43.1 peratus kepada RM16.6 juta daripada RM5.7 juta.
Mercury Securities ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen tawaran saham bagi IPO itu.
-- BERNAMA