Kemungkinan untuk perlumbaan Formula Satu (F1) kembali ke Malaysia masih ada, namun tidak akan berlaku tanpa sokongan dana, perancangan strategik dan komitmen menyeluruh negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif.
Pada masa sama, penganjuran semula F1 oleh Malaysia akan mengambil masa kerana banyak aspek yang perlu diselaraskan, melibatkan pelbagai pihak termasuk kementerian yang berkenaan dan sektor korporat.
“Jika kita rancang (dari sekarang pun) perkara itu hanya akan berlaku tiga ke empat tahun akan datang. Namun ia boleh berlaku, saya percaya ia boleh berlaku,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
Malaysia menyertai kalendar perlumbaan F1 pada 1999, namun selepas lapan tahun menjadi tuan rumah, negara ini berundur dari pentas tersebut pada 2017, dan sejak itu acara sukan permotoran berprestij berkenaan melalui transformasi dari segi khalayak global dan juga fokus komersial.
Namun, belakangan ini nama Malaysia kembali disebut-sebut oleh peminat tempatan dan antarabangsa, dipicu oleh siri Formula 1: Drive to Survive yang disiarkan oleh platform penstriman Netflix dan ledakan pelancongan sukan di rantau Asia.
Akan tetapi persoalannya tetap sama: adakah Malaysia bersedia untuk kembali ke pentas F1?
TEKANAN SERANTAU, PERSAINGAN GLOBAL
Perkembangan F1 di Asia semakin pesat dengan Thailand dijangka menyertai kalendar perlumbaan 2028 sementara Singapura terus gah menerusi perlumbaan waktu malamnya.
“Jika itu berlaku, kita akan ‘tersepit’ antara Singapura dan Thailand dalam kalendar perlumbaan,” kata Azhan Shafriman sambil menekankan kepentingan geopolitik dan komersial kedudukan serantau.
pic-2
Beliau berkata SIC bersedia menyelaras kemungkinan kemunculan semula itu, bertindak sebagai jambatan antara pihak berkepentingan, kerajaan dan pihak pengurusan Formula Satu.
Bagaimanapun ada dua cabaran utama, iaitu merebut slot dalam kalendar 24 perlumbaan yang padat itu dan dana. Kesemua slot penganjuran pula sudah terisi dengan masih banyak negara sedang menunggu giliran masing-masing.
“Kita masih dalam perbincangan dengan mereka (F1), membina kepercayaan. Mereka mahu kembali ke sini, tetapi persoalannya siapa akan biaya (penganjuran) dan di mana tempat kita dalam kalendar (perlumbaan)… bergantung pada nasib,” katanya.
Ringkasnya, Malaysia bukan sahaja perlu bersaing dengan Thailand dan Singapura tetapi juga negara pembida baharu dari seluruh dunia.
Persaingan merebut slot amat sengit dan Formula Satu diketahui amat strategik dalam memilih venue yang dapat memaksimumkan pendedahan global, penajaan dan keseimbangan logistik.
Turut menjadi cabaran ialah kecenderungan Formula Satu terhadap litar berasaskan jalan raya di bandar seperti Baku (Azerbaijan) serta Miami dan Las Vegas (Amerika Syarikat).
“Yang saya nampak sekarang Formula Satu cenderung kepada perlumbaan jalanan berbanding litar kekal. Akan tetapi, dari segi perlumbaan, Sepang dibina khas untuk Formula Satu,” kata Azhan Shafriman, dan menambah amat merugikan jika litar bertaraf dunia itu tidak digunakan untuk perlumbaan berprestij tersebut.
Katanya pada penganjuran terakhir F1 di negara ini, Malaysia membelanjakan sekitar US$50 juta hingga US$55 juta sebagai bayaran fi berkaitan kepada Formula One Management.
Susulan peningkatan peminat antarabangsa dan profil komersial, beliau membangkitkan satu isu penting, iaitu tentang kemampuan dan harapan peminat.
“Selain isu ketersediaan slot penganjuran untuk kita, orang ramai juga perlu tahu harga tiket akan lebih mahal sekiranya mereka mahu Formula Satu kembali ke sini,” katanya, menambah perlumbaan itu sentiasa dikaitkan dengan tanda harga premium.
“Sejak dulu hingga sekarang, harga tiket Formula Satu memang mahal, lebih mahal berbanding MotoGP (kejohanan lumba motosikal utama dunia) dan kita pernah menganjurkan kedua-dua acara itu, jadi kita tahu perbezaannya. Ramai yang mahu Formula Satu kembali tetapi persoalannya, apabila kita jual tiket ada pembeli atau tidak?”
Menurut beliau, perbezaan kos itu tidak dapat dielakkan memandangkan skala pelaburan yang besar untuk penganjuran Formula Satu.
Tambahan pula katanya Liberty Media, pemilik semasa F1, mengutamakan pengalaman acara yang lebih luas dengan penekanan pada konsep gaya hidup dan hiburan menjelang perlumbaan, sekali gus menjadikan harga tiket Formula Satu pastinya lebih tinggi berbanding MotoGP.
Bagaimanapun SIC berhasrat memenuhi keperluan kumpulan penonton yang lebih luas, seperti menyediakan tempat duduk khas sepertimana yang ia lakukan untuk MotoGP dan Tiket Rahmah.
NILAI F1 MELANGKAUI TREK
Azhan Shafriman berkata Formula Satu antara produk sukan global yang melangkaui perlumbaan itu sendiri, menggabungkan kejuruteraan, kebanggaan negara dan persaingan elit.
"Kejuruteraan dan teknologi yang terlibat, serta impak Formula Satu tidak dapat ditandingi oleh sukan lain di dunia,” katanya.
pic-3
Selain menganjurkan perlumbaan, ada satu lagi impian, iaitu melahirkan pelumba Malaysia untuk bersaing dalam Formula Satu.
“Dulu kita ada Alex Yoong dan hampir-hampir dapat mengetengahkan Jazeman (Jaafar),” katanya. Namun laluan ke Formula Satu memang diketahui penuh onak dan duri.
“Hanya ada kira-kira 20 pelumba dan terdapat ratusan, kalaupun tidak ribuan, anak muda sedang berusaha mengisi tempat itu,” tambahnya.
Kebanyakan pemandu elit memulakan kerjaya mereka dalam sukan go-kart sebelum usia remaja. Dari situ, mereka mara melalui siri perlumbaan peringkat kebangsaan, F3 dan F2 - setiap peringkat menuntut kos lebih tinggi.
“Jika kita ingin melahirkan seorang pemandu Formula Satu dari Malaysia, usaha perlu bermula di peringkat akar umbi dengan menganjurkan banyak acara di Malaysia, seperti go-kart dan sebagainya,” katanya.
Dunia perlumbaan kini melangkah ke arah baharu: perlumbaan maya dengan sim-racing dan e-sukan semakin diiktiraf sebagai platform ke arena perlumbaan sebenar.
"Sekarang ada satu laluan baharu yang kami lihat bermula dari e-sukan, terus melangkah ke perlumbaan sebenar. Jika anda menonton filem ‘Gran Turismo’, ia berdasarkan kisar benar seorang lelaki yang bermula dari sim-racing dan akhirnya bersaing di perlumbaan sebenar,” katanya.
KESAN PENGGANDA EKONOMI
Sementara itu, Azhan Shafriman berpendapat Malaysia masih memandang rendah potensi pelancongan dan impak ekonomi acara antarabangsa seperti F1 dan MotoGP.
Menurut kajian impak ekonomi oleh SIC, seorang penonton antarabangsa membelanjakan lebih RM7,700 dalam tempoh tujuh hingga 10 hari di Malaysia - angka meningkat seiring jumlah kehadiran.
pic-4
“Untuk dua tahun lepas, pada 2022 dan 2023, kadar pulangan pelaburan sekitar 3.5. Tahun lalu, ia meningkat hampir sekali ganda… kira-kira enam,” jelasnya, merujuk pengganda pulangan pelaburan bagi MotoGP.
Tegasnya, Malaysia akan terus ketinggalan di belakang negara jiran seperti Singapura, Thailand malah Indonesia, jika tidak bertindak pantas.
Beliau juga berkata Malaysia perlukan seorang pakar strategi bagi menilai semua acara yang boleh dibawa masuk ke negara ini selain pendekatan lebih strategik serta berpusat dalam perolehan acara.
Azhan Shafriman turut mengesyorkan agar negara melihat semula kaedah “memikat” acara global, terutama dari segi peraturan dan kerenah birokrasi.
“Kalau kita nak jadi global, kita perlu berikan sedikit kelonggaran namun tidaklah sehingga menjejaskan prinsip. Kita perlu hormat yang Malaysia ini negara Islam, namun ada perkara-perkara tertentu yang boleh kita lunakkan, tidak perlu terlalu keras,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukannya yang cekal dalam menguruskan litar Sepang sepanjang tempoh ketidaktentuan akibat COVID-19, di sebalik kekangan peruntukan dan harapan tinggi yang dijunjung.
“Mereka memberi sokongan penuh kepada saya selama ini,” katanya, dan menambah: “Sepang bukan sekadar litar tetapi simbol potensi Malaysia sekiranya ia berani mengambil langkah untuk kembali ke petak permulaan.”
-- BERNAMA