KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Tiada elemen prosiding bertindih sekiranya pendakwaan terhadap beberapa suspek kes buli dijalankan serentak dengan prosiding inkues bagi menyiasat kematian pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir, menurut pengamal undang-undang.
Peguam Datuk Geethan Ram Vincent berkata setakat ini pertuduhan dibuat terhadap suspek-suspek yang terlibat dalam kes buli membabitkan Zara Qairina, manakala inkues pula diadakan bagi membolehkan pihak berkepentingan mengetahui punca serta sebab kematian mangsa.
“Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak untuk menuduh suspek-supek berdasarkan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Apabila wujud keterangan memadai, maka pertuduhan dikemukakan dan walaupun pertuduhan dikemukakan, prosiding inkues boleh diteruskan untuk menentukan wujud elemen jenayah atau salah laku lain selain buli.
“Mungkin selepas inkues, boleh ada pertuduhan ke atas mana-mana pihak lain sekiranya wujud keterangan yang memadai. Pertuduhan bagi kes buli tidak akan mengganggu prosiding inkues,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan AGC semalam yang memutuskan untuk mendakwa beberapa suspek yang terlibat dalam kes buli pelajar berkenaan.
AGC memaklumkan pendakwaan terhadap suspek itu juga tidak akan menjejaskan siasatan yang dijalankan PDRM dan prosiding inkues di mahkamah.
Sementara itu, peguam Abu Dzar Mohd Annuar berkata prosiding inkues tidak akan mengganggu proses pendakwaan terhadap suspek-suspek terlibat kes buli Zara Qairina, kerana prosiding tersebut adalah untuk menentukan adakah tertuduh benar-benar bersalah di bawah pertuduhan yang dikemukakan ke atas mereka.
“Prosiding inkues berbeza dengan pendakwaan, yang mana inkues dijalankan bukan untuk menentukan siapa yang bersalah, sebaliknya bagi mengetahui punca dan sebab kematian,” katanya.
Beliau berkata keterangan saksi dalam prosiding inkues tidak boleh dijadikan sebagai bukti dalam proses pendakwaan, namun saksi-saksi dalam prosiding inkues tersebut boleh dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberikan keterangan di mahkamah.
“Jadi pada pandangan saya, tidak akan berlaku percanggahan fakta atau keputusan kerana ia proses yang berbeza. Inkues adalah untuk menentukan punca kematian, manakala proses pendakwaan adalah untuk menentukan adakah tertuduh bersalah.
“Prosiding inkues ini sebenarnya membantu pihak pendakwaan atau pihak berkuasa bagi menyediakan bukti-bukti yang lebih kukuh. Maka itulah saya rasa kedua-dua langkah ini boleh membantu untuk mempercepat atau memastikan keluarga Zara Qairina mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku kepada mangsa,” katanya.
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu di Sabah semalam menetapkan 3 Sept ini untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina.
Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar pada hari sama mengesahkan lima remaja bawah umur akan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu esok berhubung kes buli pelajar itu.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, di sini pada 17 Julai, selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah berkenaan pada pagi 16 Julai.
-- BERNAMA