EKONOMI

475 JUTA E-INVOIS DIREKODKAN SETAKAT INI, LIBATKAN 98,813 PEMBAYAR CUKAI - TIMBALAN MENTERI KEWANGAN

19/08/2025 12:59 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 475 juta e-Invois telah dikeluarkan oleh 98,813 pembayar cukai setakat semalam, membabitkan fasa pertama hingga ketiga pelaksanaan mandatori mulai 1 Julai, 2025, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata, sebanyak 37,000 pembayar cukai daripada fasa keempat dan kelima turut menyertai pelaksanaan itu secara sukarela.

“Dengan penglibatan daripada pembayar cukai ini, ia jelas menunjukkan tahap penerimaan yang baik oleh pembayar cukai dalam mematuhi pelaksanaan e-Invois,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang ingin tahu mengenai status pelaksanaan e-Invois sehingga ia dilaksanakan sepenuhnya dan unjuran peningkatan perolehan yang akan diperoleh kerajaan melalui inisiatif berkenaan.

Namun, Lim berkata pelaksanaan e-Invois pada masa ini masih lagi peringkat awal dan unjuran penambahan hasil hanya dapat ditentukan selepas pelaksanaan mandatori sepenuhnya pada 1 Julai, 2026.

“Pada masa sama, kerajaan akan memantau keberkesanan pelaksanaannya dalam membantu meningkatkan pematuhan cukai,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan