DUNIA

PRESIDEN PALESTIN KELUARKAN DEKRI TUBUHKAN JAWATANKUASA PENGGUBALAN PERLEMBAGAAN INTERIM

19/08/2025 01:13 PM

RAMALLAH, 19 Ogos (Bernama-WAFA) -- Presiden Mahmoud Abbas pada Isnin malam mengeluarkan dekri presiden menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menggubal perlembagaan interim, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Presiden Abbas mengambil langkah itu dalam konteks persiapan untuk mengadakan pilihan raya umum yang akan diadakan selepas berakhirnya serangan genosid Israel di Semenanjung Gaza, pengunduran tentera pendudukan dari wilayah itu dan setelah Negara Palestin mengambil alih tanggungjawab di Semenanjung Gaza dalam proses peralihan ke arah pembentukan negara Palestin.

Menurut dekri itu, jawatankuasa berkenaan akan berfungsi sebagai pihak berkuasa perundangan yang diberi mandat untuk menggubal perlembagaan interim, selaras dengan Deklarasi Kemerdekaan, prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, konvensyen hak asasi manusia antarabangsa, dan triti-triti antarabangsa yang berkaitan.

Langkah itu bertujuan untuk meletakkan asas bagi penubuhan Negara Palestin dan institusinya melalui penyediaan draf perlembagaan yang mengabadikan prinsip perlembagaan bagi sistem pemerintahan demokratik berasaskan kedaulatan undang-undang, pengasingan kuasa, penghormatan dan perlindungan hak serta kebebasan awam, dan pertukaran kuasa secara aman.

Presiden Abbas turut mengeluarkan keputusan melantik pengerusi dan ahli jawatankuasa itu, yang terdiri daripada beberapa tokoh negara, politik dan masyarakat di samping pakar perundangan dan perlembagaan terkemuka, dengan mengambil kira perwakilan masyarakat sivil dan gender.

Dekri itu juga memperuntukkan penubuhan jawatankuasa kecil teknikal khusus mengikut bidang kerja masing-masing serta mengawal selia komposisi, fungsi dan mesyuaratnya mengikut undang-undang kecil dalaman.

Selain itu, dekri itu turut memperuntukkan penubuhan platform elektronik untuk menerima cadangan daripada semua lapisan masyarakat Palestin di wilayah Negara Palestin dan di luar negara bagi menghasilkan perlembagaan interim yang mewakili rakyat Palestin.

-- BERNAMA-WAFA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan