KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat Oktober ini peluang terbaik untuk memastikan suara tegas ASEAN menolak kekejaman Israel di Gaza dapat disampaikan secara langsung kepada Washington.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025 akan menekankan tanggungjawab Amerika Syarikat sebagai sebuah negara kuasa besar untuk memastikan penyelesaian segera isu dihadapi rakyat Palestin khususnya Gaza, semasa pembukaan sidang berkenaan.
"Ada baiknya (Trump menghadiri persidangan ASEAN-Amerika Syarikat), kita dapat bersemuka malah semua negara ASEAN boleh menyatakan sendiri (pendirian menolak kekejaman Israel terhadap Palestin) sepertimana kita nyatakan sendiri semasa Setiausaha Negara Amerika Syarikat hadir Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58, baru-baru ini.
"Kita juga sudah berjaya dapatkan kenyataan bersama sebelum ini bahawa kita nyatakan ASEAN amat kesal atas kekejaman dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin," katanya ketika sesi penggulungan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata jemputan Malaysia kepada Trump untuk menghadiri sidang kemuncak berkenaan juga tidak seharusnya mencampuradukkan dengan isu-isu lain kerana hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat tetap perlu dilaksanakan.
Mengenai bantuan yang telah disalurkan Malaysia kepada Palestin, Mohamad berkata setakat ini, negara ini telah menyumbang kira-kira USD17 juta hasil kutipan derma rakyat Malaysia menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
"Bantuan ini dapat memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan, khususnya Persatuan Bulan Sabit Merah di Palestin untuk membeli barangan berkaitan kesihatan," katanya.
Selain itu, Mohamad berkata Malaysia telah menambah bantuan kewangan sebanyak USD500,000 yang disalurkan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) serta Persatuan Bulan Sabit Merah di Palestin semasa mesyuarat khas sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 pada Julai lepas.
"Mereka dapat belikan barangan keperluan kerana banyak barang-barang masih beratur, beribu-ribu trak di Rafah tetapi yang dapat masuk cuma beberapa trak atau kontena sahaja. Kebanyakan barang yang diperlukan adalah keperluan perubatan. Jadi kami membantu dengan beri tambahan bantuan kewangan," katanya.
-- BERNAMA