KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Beberapa kedai tekstil di sekitar ibu negara dikesan menggunakan alat sukat yang tidak ditentusahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pengarah KPDN Kuala Lumpur Mohd Sabri Seman berkata alat sukat atau pembaris tidak menepati piawaian digunakan di premis berkenaan boleh menjejaskan hak pengguna sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko penipuan ketika membeli kain.
“Pembaris yang digunakan bagi tujuan mengukur kain mestilah menepati spesifikasi dengan mempunyai logam di kedua-dua hujung serta label pensijilan daripada KPDN,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi KPDN di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini hari ini.
Dalam operasi bermula 12 tengah hari itu, sebanyak 35 premis diperiksa dan tujuh dikompaun atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972, melibatkan jumlah kompaun keseluruhan RM7,000.
Tiga premis didapati menggunakan alat sukat yang tidak ditentusahkan manakala empat lagi gagal mempamerkan tanda harga.
Mohd Sabri berkata sebanyak 272 kes kesalahan penandaan harga dan penggunaan alat timbang serta sukat telah dikesan sejak awal tahun ini dengan nilai kompaun dikeluarkan hampir RM100,000.
Beliau menasihati pengguna supaya lebih berhati-hati serta menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki berlaku penyelewengan barang kawalan, penjualan barangan tiruan atau ketidakpatuhan peniaga terhadap undang-undang ditetapkan.
“Kita juga berharap peniaga sentiasa mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan agensi bagi memastikan urus niaga berjalan dengan adil dan telus,” katanya.
-- BERNAMA