KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Penerimaan Pelan Strategik Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) satu langkah penting ke arah merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN (ACV) 2045, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Bagaimanapun, beliau berkata visi semata-mata tidak memadai, sebaliknya kunci kejayaannya adalah menerusi pelaksanaan dan perpaduan.
“Kita mesti bekerjasama dengan lebih erat dalam semangat perpaduan, kerana hanya melalui perpaduan kita dapat meneroka potensi tanpa sempadan. Kita juga perlu giat mempromosikan warisan serta budaya masing-masing; inilah semangat ASEAN yang tulen.
“Bagi menjayakan semua itu, identiti ASEAN hendaklah terus menjadi pemangkin untuk memperkukuh kerjasama. Marilah kita terus bekerjasama membina sebuah Komuniti ASEAN yang benar-benar berdaya tahan, inklusif, mampan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat,” katanya dalam ucapan pada forum serantau Pelan Strategik ASCC di sini hari ini.
Forum anjuran bersama Malaysia dengan sokongan kerajaan Jepun melalui Japan-ASEAN Integration Fund (JAIF) 3.0 itu turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn serta Duta Jepun ke ASEAN Kiya Masahiko.
Majlis pelancaran rasmi Pelan Strategik ASCC turut diadakan pada forum berkenaan.
Acara sehari itu menghimpunkan hampir 200 peserta termasuk pegawai kanan dari negara anggota ASEAN serta wakil kementerian, persekutuan dan negeri, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Tiong yang juga Pengerusi Majlis ASCC berkata pelan strategik itu secara keseluruhan merangkumi 12 matlamat strategik, 16 objektif, 20 bidang keberhasilan utama dan 112 langkah strategik.
Beliau berkata pelan berkenaan mengulangi komitmen badan serantau itu untuk memperkasakan wanita dan belia, memelihara kekayaan warisan budaya ASEAN, merapatkan jurang pembangunan, memperkukuh sistem kesihatan awam, memperluas perlindungan sosial dan memacu pertumbuhan inklusif serta mampan untuk semua.
Tiong berkata sejak sekian lama Malaysia telah mengiktiraf ASCC sebagai teras dalam membina masyarakat yang berpaksikan rakyat, inklusif dan mampan merentasi generasi.
“Bukan sekadar dianggap sebagai ‘soft pillar’ ASEAN, ASCC berperanan sebagai pemacu utama kepada kestabilan serantau, perpaduan sosial dan keadilan,” katanya.
“Selain mengutamakan kebudayaan, pendidikan dan perlindungan sosial, ia berperanan sebagai platform ASEAN yang paling penting untuk menangani cabaran kompleks dan merentasi bidang, termasuk krisis iklim, gangguan maklumat, penuaan penduduk dan kerentanan yang dihadapi komuniti rentas sempadan,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak berkepentingan, iaitu badan serantau sehinggalah agensi nasional untuk mengambil tanggungjawab bersama serta memacu matlamat yang digariskan dalam Pelan Strategik ASCC.
“Kejayaan pelaksanaan pelan itu bergantung kepada penglibatan berterusan serta kerjasama erat daripada semua pihak. Marilah kita, berbekalkan semangat baharu dan komitmen teguh, bekerjasama membina ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat,” katanya.
-- BERNAMA