KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Permohonan kuota penggajian pekerja asing bagi tiga sektor utama iaitu pertanian, perladangan dan perlombongan serta 10 subsektor terpilih secara kes demi kes kini dibuka hingga 31 Dis ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata bagi tiga sektor utama tersebut, permohonan dibenarkan meliputi semua subsektor di bawahnya.
Beliau berkata bagi sektor perkhidmatan, subsektor yang dibenarkan ialah borong runcit, gudang darat, pengawal keselamatan, barang logam dan lusuh, restoran, dobi, kargo serta pembersihan bangunan.
“Untuk sektor pembinaan, pengambilan pekerja asing hanya dibenarkan untuk subsektor melibatkan projek kerajaan sementara subsektor perkilangan pula tertumpu kepada pelaburan baharu di bawah MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing kali ke-14, Bilangan 2 Tahun 2025, yang dipengerusikan bersama Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Saifuddin Nasution berkata permohonan kali ini terhad kepada agensi berkaitan sektor berkenaan, berbanding sebelum ini yang membenarkan ejen dan majikan memohon secara bebas.
Beliau berkata proses kelulusan akan melalui tapisan Jawatankuasa Teknikal Pekerja Asing sebelum dimuktamadkan di peringkat Jawatankuasa Bersama.
Mengenai dasar pekerja asing, Saifuddin Nasution berkata mesyuarat turut bersetuju mengekalkan siling sektoral sedia ada sebanyak 2,467,756 orang hingga 31 Dis ini sebelum beralih kepada had baharu 10 peratus seperti terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau berkata angka itu meliputi sektor perkilangan, pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, pembantu rumah asing, pelombongan dan kuari.
“Pada masa ini, kadar keberadaan pekerja asing ialah 15 peratus, namun RMK13 menetapkan siling baharu pada paras 10 peratus.
“Had 15 peratus ini kekal hingga hujung tahun, manakala siling baharu akan dimuktamadkan pada suku pertama atau kedua 2026,” katanya.
-- BERNAMA