AM

100,646 PEKERJA ASING PEGANG PAS LAWATAN KERJA SEMENTARA GAGAL DIKESAN – SAIFUDDIN

19/08/2025 07:32 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 100,646 pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam sektor pembinaan gagal dikesan selepas program pemutihan pekerja asing dilaksanakan Construction Labour Exchange Centre Bhd (CLAB), menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata justeru, kerajaan akan melaksanakan langkah serta tindakan punitif terhadap majikan dan pekerja asing sektor pembinaan yang melakukan kesalahan di bawah peraturan sedia ada.

“Mereka masuk, mereka pegang PLKS sektor pembinaan, tetapi apabila dibuat pemutihan oleh CLAB, kita tidak dapat kesan. Kalau mereka salah guna pas, kita akan ambil tindakan ikut kesalahan itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Keempat Belas, Bilangan 2 Tahun 2025 di sini hari ini.

Menurut Saifuddin Nasution, perkara itu didedahkan susulan pembentangan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam mesyuarat berkenaan.

“Kalau pas mereka sudah tamat, mereka sepatutnya menandatangani memo check out dan meninggalkan negara. Kalau mereka tidak meninggalkan negara, kita akan jejaki mereka,” katanya.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan