KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki disyaki seorang pemandu van sekolah yang menurunkan dan mengambil pelajar sekolah secara berbahaya dalam video tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata siasatan terhadap lelaki berusia 59 tahun itu, dibuat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan didenda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak lebih dari lima belas ribu ringgit,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Naazron berkata video tular berdurasi 33 saat berkenaan yang dikesan pihaknya pada 5.53 petang semalam, memaparkan sebuah van dalam keadaan bergerak sedang menurunkan dan mengambil dua pelajar sekolah.
Beliau berkata tindakan terbabit boleh mendatangkan bahaya kepada pelajar dan pengguna jalan raya lain.
Naazron turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk menghubungi balai polis yang berdekatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat Insp. Ahmad Zahrein di talian 017-3818422.
-- BERNAMA