KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Wintech Metal Processing Sdn Bhd yang menyertai Expo 2025 Osaka di Jepun merancang untuk mengembangkan portfolio pejabat pintarnya yang dipacu kecerdasan buatan (AI), analitik canggih dan reka bentuk akustik yang boleh disesuaikan.
Pengarah Pemasarannya Dixon Loong berkata suasana kerja pada masa depan semuanya berkisar tentang kebolehsuaian.
"Kami sedang membina penyelesaian yang menggabungkan reka bentuk, teknologi dan data sambil terus memberi tumpuan utama kepada keperluan dan nilai-nilai insaniah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Melalui kehadirannya di Pavilion Malaysia syarikat fabrikasi logam dan penyelesaian ruang kerja itu menunjukkan bahawa persekitaran kerja pada masa depan bukan hanya berkaitan dengan teknologi, tetapi turut melibatkan keharmonian antara insan, ruang dan planet.
"Yakin kepada keupayaan anda dan melabur dalam perkara yang menunjukkan anda berbeza. Dunia sentiasa mencari idea baharu dan banyak yang boleh ditawarkan Malaysia," katanya.
Loong berkata, syarikat itu mempamerkan bukan sahaja tentang kejayaan perniagaannya tetapi sebagai sebahagian daripada naratif kolektif Malaysia di Expo 2025 Osaka: sebuah negara yang mencipta inovasi, kemampanan dan identiti menuju masa depan yang dikongsi dengan dunia.
Bagi Wintech, jemputan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menyertai Pavilion Malaysia bukan sahaja merupakan satu penghormatan tetapi juga satu kejayaan.
“Menjadi sebahagian daripada Pavilion membolehkan kami menceritakan kisah inovasi Malaysia kepada pengunjung dari seluruh dunia, yang jelas menunjukkan bahawa perusahaan kecil dan sederhana Malaysia bukan sekadar peserta dalam perdagangan global tetapi juga menjadi perintis dalam mencipta persekitaran kerja, kemampanan dan reka bentuk pada masa depan,” katanya.
Loong berkata semasa ekspo tersebut syarikat itu mempamerkan pod akustik WINPOD dan sistem pejabat pintarnya.
Pod itu yang direka menggunakan bahan kitar semula dan kemasan semula jadi, menawarkan ruang rehat yang tenang dan senyap dalam persekitaran yang riuh rendah.
“Ramai daripada mereka yang melalui pengalaman pod Wintech di Pavilion Malaysia, termasuk kakitangan Pavilion serta pihak berkepentingan dan rakan kongsi, telah menikmati pengalaman yang konsisten dan tidak dapat dilupakan.
“Pengalaman langsung seperti itu, ditambah dengan sesi padanan perniagaan yang disokong oleh MITI, telah memberikan kami pendedahan berharga kepada pembeli, pengendali kerja bersama, dan juga agensi kerajaan yang berminat untuk meneroka penyelesaian yang serupa,” kata Loong.
Beliau berkata walaupun belum ada sebarang urus niaga telah dimuktamadkan, syarikat itu melihat interaksi ini sebagai permulaan kerjasama dan peluang eksport yang bermakna.
-- BERNAMA