PUTRAJAYA, 20 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sekali lagi menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan keadilan diterjemahkan kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang kaum majoriti atau minoriti.
Berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata setiap pendekatan yang dilaksanakan perlu adil, dengan mengambil kita keperluan rakyat, justeru kerajaan akan terus mendengar dan meneliti setiap pandangan menerusi dialog berterusan.
“…kalau nak kita selamatkan negara, kena jamin tentunya keadilan bagi yang majoriti dan minoriti. Kita tidak mahu tyranny of the majority, kita tidak mahu tyranny of the minority. Pendekatan itu harus lebih adil.
“Apa-apa kelemahan kita baiki dalam belanjawan (Belanjawan 2026). Kita sekarang dengar semua pandangan, dalam belanjawan kita akan ubah suai dan perbaiki. Tidak semestinya apa yang kita lakukan (sekarang) semua sempurna, ada kelemahan. Sebab itu dialog mesti diteruskan,” katanya.
Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Anwar turut menjelaskan pengagihan peruntukan kerajaan dibuat secara adil kepada semua golongan dengan pendekatan telus digunakan tanpa meminggirkan mana-mana kaum.
“Kalau orang tanya saya kenapa beri tumpuan dalam masyarakat India, kerana saya kata walaupun jumlah mereka kecil, kita jangan ikut sesetengah negara yang minoriti terus terpelanting. Kita tidak mahu begitu.
“Ada juga pembangkang membangkitkan bagaimana satu agensi Polis Diraja Malaysia Bahagian Jenayah, itu pun 90 peratus Melayu, ketuanya India. Bagi saya bukan masalah, siapa yang rasa ada peranan, mampu kendalikan dengan baik, kita tonjolkan,” kata beliau merujuk kepada pelantikan Datuk M. Kumar sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM.
Mengenai Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), Anwar berkata ia juga merupakan program yang lebih bermakna dan bersasar bagi masyarakat Bumiputera, bagi membangunkan sosio-ekonomi golongan itu dalam jangka masa panjang selain memastikan penyertaan substantif Bumiputera.
-- BERNAMA