SUKAN

FAM SASAR NILAI TAJAAN RM15 JUTA

20/08/2025 02:13 PM

PETALING JAYA, 20 Ogos (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyasarkan jumlah penajaan RM15 juta bagi tahun 2025 bagi tujuan pengurusan pentadbiran dan skuad kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran FAM Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata ketika ini, pihaknya sudah berjaya mendapat jumlah tajaan antara RM7 juta hingga RM8 juta.

“Jumlah yang kita ada ini masih kekurangan dan kami berusaha untuk capai sasaran yang ditetapkan.

“Kita juga selepas ini akan menerima tajaan daripada syarikat lain,” katanya pada sidang media majlis pengumuman pembaharuan kerjasama FAM dan jenama minuman isotonik 100PLUS.

Turut hadir pada majlis Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram serta Pengarah Urusan, Bahagian Makanan & Libat Urus Industri, Fraser & Neave Holdings Bhd Datuk Raffiq Md Ariff.

Dalam pada itu, Mohd Hisamuddin berkata 100PLUS akan terus menjadi Rakan Minuman Isotonik Rasmi untuk pasukan kebangsaan untuk tempoh dua tahun, dengan tajaan keseluruhan bernilai RM2 juta.

Sementara itu Raffiq berkata pihaknya gembira dengan hubungan yang cukup baik selama ini bersama FAM dan berbesar hati untuk meneruskan kerjasama tersebut.

“100PLUS sentiasa setia dan menyokong bola sepak di Malaysia. Kami berasakan bahawa cara terbaik untuk menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan sukan ini ialah menerusi kerjasama dengan FAM,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan