KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) dan Standard Chartered Bank Malaysia Berhad meraikan ulang tahun ke-25 kerjasama mereka dengan melancarkan dua produk baharu, PRUSignature Care dan PRUSignature Plus.
Pelancaran produk baharu itu bagi memenuhi keperluan perlindungan rakyat Malaysia yang sentiasa berubah.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengedaran Perkongsian PAMB Eric Wong berkata Malaysia antara negara pertama yang melancarkan kerjasama antara Standard Chartered dan Prudential plc yang kini terus berkembang dengan memperkenalkan produk baharu.
"Tahniah kepada Standard Chartered atas sambutan 150 tahun di Malaysia. Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.
“Sempena 25 tahun kerjasama itu, kami berbangga untuk sekali lagi memperkenalkan dua produk inovatif baharu yang mencerminkan komitmen berterusan kami dalam memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata PRUSignature Care menyediakan perlindungan komprehensif kepada pesakit kanser, termasuk manfaat kewangan hingga 100 peratus bayaran manfaat, pengecualian premium serta bayaran tahunan selama tiga tahun bagi menyokong pemulihan.
“Jika pelanggan didiagnosis menghidap kanser tahap awal, mereka akan menerima 50 peratus bayaran manfaat dan pengecualian bayaran premium selama satu tahun. Jika mereka didiagnosis pada tahap lain, mereka akan menerima 100 peratus bayaran manfaat dengan bayaran tambahan untuk kanser jantina tertentu.
“Apabila pelan mencapai tempoh matang, pelanggan akan menerima 100 peratus daripada jumlah premium yang telah dibayar, walaupun mereka telah membuat tuntutan bagi kanser tahap awal,” kata beliau.
Beliau berkata PRUSignature Plus pula direka untuk pelanggan yang mahu mengembangkan kekayaan sambil menikmati perlindungan sepanjang hayat melalui ciri Nilai Jaminan Kewangan yang mengunci pencapaian nilai pelaburan tertinggi pelanggan sekali gus memastikan perlindungan berterusan meskipun pasaran jatuh.
"Kami teruja untuk menawarkan PRUSignature Care dan PRUSignature Plus kepada pelanggan kami. Penyelesaian itu mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap inovasi dan kesejahteraan pelanggan," katanya sambil menambah maklumat lanjut mengenai produk boleh didapati melalui saluran rasmi Prudential.
Sejak dimulakan pada 2000, kerjasama antara Prudential dan Standard Chartered telah mengeluarkan lebih 170,000 polisi melibatkan lebih 100,000 individu serta membayar tuntutan melebihi RM1.4 bilion.
Sementara itu, Ketua Perbankan Kekayaan dan Runcit Standard Chartered Malaysia Harmander Mahal dalam kenyataan sama berkata kerjasama itu telah menggabungkan kepakaran pengurusan kekayaan dengan penyelesaian perlindungan inovatif Prudential.
“Bersama-sama kami telah membantu pelanggan pada setiap peringkat kehidupan, memenuhi keperluan mereka yang sentiasa berubah.
“Kami bersemangat untuk meneruskan perjalanan ini, membantu pelanggan membina daya tahan kewangan yang lebih kukuh dan memastikan masa depan lebih cerah untuk diri mereka dan keluarga,” katanya.
-- BERNAMA