KOTA BHARU, 21 Ogos (Bernama) -- Kerajaan tidak pernah melupakan jasa pesara yang telah menabur bakti dalam perkhidmatan awam, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau berkata setiap kali JPA turun padang, pihaknya mengambil kesempatan menziarahi pesara-pesara yang menghadapi kesulitan hidup, sama ada disebabkan penyakit atau pencen yang tidak mencukupi.
“Alhamdulillah, pada hari ini saya berkesempatan melawat dua keluarga pesara. Seorang daripadanya ialah pesara polis di Kampung Panji yang menghidap penyakit kronik, manakala seorang lagi ialah penerima pencen terbitan, balu kepada bekas pegawai Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni isteri pesara MPKB Allahyarham Kamal Ariffin Mohamed, Siti Rubiah Mohammad pada Program Santuni Pesara di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Terdahulu, Wan Ahmad Dahlan turut menyantuni pesara polis iaitu Ibrahim Abdullah, 65, di Panji.
Wan Ahmad Dahlan menegaskan kerjasama antara agensi persekutuan dan negeri membolehkan bantuan disalurkan secara bersepadu, sekali gus meringankan beban keluarga pesara yang memerlukan.
“Kerajaan tidak pernah melupakan pesara yang telah menyumbang bakti kepada perkhidmatan awam. Insya-Allah, dalam program akan datang kita akan terus mendekati pesara sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap jasa besar mereka dalam pembangunan negara,” katanya.
Lawatan berkenaan turut disertai wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kumpulan Wang Persaraan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
-- BERNAMA