JOHOR BAHRU, 22 Ogos (Bernama) -- Kejadian buli yang menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di sebuah sekolah kebangsaan, di sini memberikan kesan mendalam terhadapnya apabila mangsa kini mengalami trauma.
Ibunya Siti Suhana Misdi, 40, berkata keadaan berkenaan membuatkan anak keempatnya itu yang lazimnya berperwatakan ceria, kerap mengigau seakan-akan mengalami mimpi yang buruk.
“Apa yang boleh saya katakan, anak saya macam bermimpikan sesuatu dan apabila saya kejut daripada mengigau, dia bangun dalam keadaan terkejut dan menangis secara tiba-tiba.
“Kejadian buli yang pertama pada Februari lepas turut menyebabkan dia lebih kerap bersendirian, tahu-tahu sahaja dia menangis selain mudah berkecil hati,” kata suri rumah itu kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.
Siti Suhana berkata anaknya yang mengalami masalah saluran pernafasan kronik sejak berusia lapan tahun dan telah menjalani pelbagai pembedahan selain turut menghidap hernia, mengalami pelbagai komplikasi akibat kejadian buli pada awal Ogos.
Anaknya terpaksa dirawat selama sembilan hari di sebuah hospital bermula dari 12 Ogos susulan komplikasi yang dialami termasuk sakit kepala, muntah-muntah dan air kencing kotor selain berasa seperti hendak pengsan.
Bagaimanapun, Siti Suhana berkata anaknya itu telah dibenarkan pulang dua hari lepas dan perlu mendapatkan rawatan susulan seminggu sekali, sekali gus menjelaskan anaknya yang masih cuti sakit tetap bersemangat dan teruja untuk kembali ke sekolah.
Dalam pada itu, Siti Suhana berkata keluarga kanak-kanak yang didakwa membuli anaknya telah tampil memohon maaf, namun dia berharap anaknya mendapat pembelaan yang seadil-adilnya mengikut lunas undang-undang sedia ada.
“Jabatan Pendidikan Negeri Johor memang beritahu akan ambil tindakan, cuma saya tidak pasti (tindakan seterusnya), siasatan telah dibuat, namun keputusan akhir (hasil siasatan dan keputusan tindakan seterusnya) belum diketahui,” katanya.
Terdahulu, Siti Suhana dan suaminya Azuan Isaidi Khairudin, 38, menerima sumbangan pelbagai barangan keperluan asas daripada Econsave Cash & Carry Sdn Bhd yang disampaikan oleh Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam.
Baru-baru ini, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berangkat melawat kanak-kanak berkenaan dan menitahkan agar langkah-langkah penguatkuasaan lebih ketat dilaksanakan segera berikutan kejadian buli yang kerap berlaku belakangan ini.
Ketua Polis Johor CP Ab Rahaman Arsad dipetik sebagai berkata siasatan berhubung kes buli terbabit hampir selesai dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak itu dibuli pada Februari dan Ogos lepas sehingga mengalami kecederaan serius.
Ibunya tampil membuat dua laporan polis masing-masing di Balai Polis Skudai pada 23 Mac dan Balai Polis Larkin pada 16 Ogos.
-- BERNAMA