KANGAR, 23 Ogos (Bernama) -- Kira-kira 40 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) daripada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jauhar Jannah di sini, menzahirkan semangat patriotisme dengan menghasilkan Jalur Gemilang menggunakan cap tangan, pada Program Semarak Merdeka Bersama OKU.
Pemilik kafe yang juga penganjur program Nor Azliana Azame, 44, berkata penyertaan pelajar itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, tetapi juga membuktikan bahawa mereka mampu menyatakan kecintaan terhadap tanah air dengan cara tersendiri.
“Penganjuran program antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa golongan OKU juga berupaya berdikari, berkarya dan menyumbang jika diberi peluang,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat meraikan pelajar terlibat.
Sementara itu, Marini Che Shaari, 52, berkata program itu memberikan pengalaman baharu dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan selain membantu proses pembelajaran anaknya Ahmad Areez Mukhlis, 5, yang merupakan kanak-kanak sindrom Down.
“Walaupun anak-anak ini mungkin tidak begitu faham erti kemerdekaan, sekurang-kurangnya mereka mengenal Jalur Gemilang dan dapat merasai suasana sambutan Bulan Kebangsaan. Anak saya sangat seronok menyanyikan lagu patriotik sambil mengibarkan bendera,” katanya.
Mohd Ramzani Abdul Aziz, 41, bapa kepada Muhammad Akram, 11, yang mengalami masalah pembelajaran berkata program itu mampu mendidik semangat cinta akan negara dalam kalangan pelajar OKU.
Selain itu, penganjuran program sebegini dapat mengeratkan hubungan antara komuniti serta memberikan pendedahan positif kepada golongan istimewa.
“Kehadiran anak saya dalam program ini jelas membuatkan dia gembira serta dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran,” katanya.
-- BERNAMA