AM

UNDANG-UNDANG E-DAGANG: TAKRIF ‘AFFILIATE’ LEBIH JELAS, TANGANI ADUAN TRANSAKSI DALAM TALIAN

23/08/2025 07:44 PM

KUCHING, 23 Ogos (Bernama) -- Penggubalan rang undang-undang khusus untuk mengawal selia e-dagang akan turut merangkumi takrifan lebih jelas terhadap pihak yang terlibat, termasuk kumpulan pemasaran dalam talian secara ‘affiliate’ bagi memastikan peraturan yang digubal lebih adil dan menyeluruh.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata hasil sesi libat urus bersama pemain industri mendapati wujud keperluan untuk mengasingkan peranan ‘affiliate’ daripada kategori penjual yang selama ini didefinisikan dalam undang-undang sedia ada.

“Sebelum ini kita mendefinisikan golongan ‘affiliate’ sebagai sebahagian daripada penjual, tetapi melalui perbincangan dan sesi libat urus ini kita melihat kedudukan mereka berbeza kerana mereka bukan pemilik produk, jadi pengguna tak boleh nak marah 'affiliate' sebab mereka hanya memasarkan bagi pihak penjual. 

“Ini yang kita maksudkan keadilan untuk semua dan ini juga dimasukkan dalam kerangka undang-undang itu…jadi ia akan lebih luas tetapi ia akan meliputi keperluan dan hak semua pihak berkepentingan," katanya pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Semakan Semula Perundangan E-Dagang di sini, hari ini.

Menurutnya, langkah mengasingkan kategori ‘affiliate’ akan menutup kelompongan undang-undang sedia ada, selain melindungi hak semua pihak dalam ekosistem e-dagang.

Fuziah menegaskan kejelasan peranan setiap pihak penting bagi menjamin perlindungan pengguna, meningkatkan ketelusan dalam kalangan penyedia perkhidmatan serta mewujudkan budaya akauntabiliti dan pasaran yang lebih adil.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pembentangan rang undang-undang berkaitan platform e-dagang dijangka diadakan sewaktu persidangan Dewan Rakyat pada Mac tahun hadapan.

Dalam pada itu, Fuziah menekankan isu transaksi dalam talian bukan lagi perkara terpencil, sebaliknya menjadi antara kategori aduan tertinggi yang diterima kementerian setiap tahun, dengan 4,809 aduan direkodkan setakat 31 Julai lepas. 

Berdasarkan rekod Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), transaksi dalam talian kekal sebagai kategori aduan tertinggi bagi tahun 2023 dan 2024, dengan masing-masing mencatatkan 14,211 dan 10,486 aduan.

Antara aduan yang paling banyak dilaporkan melibatkan isu barang tidak diterima, barang tidak menepati spesifikasi atau berbeza daripada tawaran, iklan mengelirukan, penjualan barangan tiruan serta penggunaan identiti palsu oleh penjual.

Menurut timbalan menteri itu, statistik berkenaan membuktikan keperluan mendesak untuk merangka undang-undang e-dagang yang lebih kukuh, berkesan dan relevan dengan perkembangan semasa.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan