JENAYAH & MAHKAMAH

PESARA RUGI LEBIH RM2.5 JUTA DITIPU PELABURAN DALAM TALIAN

24/08/2025 01:35 PM

KUCHING, 24 Ogos (Bernama) -- Seorang pesara kerugian lebih RM2.5 juta selepas diperdaya pelaburan dalam talian di Miri.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata mangsa berusia lingkungan 60-an itu membuat laporan polis selepas menyedari tidak menerima sebarang pulangan daripada pelaburan walaupun telah membuat beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun diberikan suspek.

“Pada pertengahan April lepas, mangsa melayari laman Facebook ketika berada di rumah dan tertarik dengan satu iklan pelaburan dalam talian yang dipromosikan suspek. 

"Mangsa kemudiannya memuat turun aplikasi dikenali ‘Stefelai’ dan membuat pelaburan menerusi aplikasi itu. Mangsa yang terperdaya dengan tawaran suspek kemudiannya terus membuat transaksi secara berperingkat berjumlah lebih RM2.5 juta sebelum menyedari dirinya ditipu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mancha mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran pelaburan dalam talian yang tidak disahkan pihak berkuasa serta membuat semakan latar belakang platform atau individu  menawarkan skim pelaburan.

"Selain itu, disarankan untuk membuat semakan senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di www.bnm.gov.my atau BNM TELELINK 1-300-88-5465 (Bank Negara Malaysia), serta www.sc.com.my atau 03-6204 8999 (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia),” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan