JENAYAH & MAHKAMAH

WANITA MELECUR KESELURUHAN BADAN DALAM KEBAKARAN DI TAMBUN

25/08/2025 01:31 PM

IPOH, 25 Ogos (Bernama) -- Seorang wanita melecur hampir keseluruhan badan dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Taman Perajurit, Ipoh Timur dekat Tambun di sini.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 10.39 pagi tadi.

Beliau berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun, Meru Raya, Ipoh dan Pasukan Bomba Sukarela Bercham bergegas ke lokasi kejadian.

“Terdapat seorang mangsa wanita berusia dalam lingkungan 40-an dilaporkan mengalami melecur tahap tiga dan hampir keseluruhan badannya terbakar.

“Kebakaran melibatkan tiga rumah kelas A dengan rumah pertama terbakar kira-kira 80 peratus, manakala rumah kedua dan ketiga masing-masing hanya 30 serta 10 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shazlean berkata mangsa dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut, manakala api padam sepenuhnya dan proses overhaul pemadaman sedang dilaksanakan ketika ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan