EKONOMI

KADAR TARIF BAHARU AS MASIH TEMPATKAN MALAYSIA DALAM KEDUDUKAN KOMPETITIF - MITI

27/08/2025 12:03 AM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Kadar tarif baharu yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia masih meletakkan negara dalam kedudukan yang kompetitif secara keseluruhannya, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurutnya keputusan kerajaan untuk tidak mengambil tindakan balas dan memilih jalan rundingan secara berhemah telah membuahkan hasil yang pragmatik dan seimbang.

Pada 31 Julai 2025, AS mengumumkan pengenaan tarif timbal balas ke atas semua rakan dagangan termasuk Malaysia pada kadar 19 peratus berkuat kuasa 8 Ogos 2025, pengurangan daripada 25 peratus yang diumumkan pada 7 Julai 2025, kata MITI.

“Walaupun kadar tarif telah diturunkan daripada 25 peratus kepada 19 peratus, kesannya dijangka masih wujud walaupun pada tahap minimum berbanding sebelumnya,” kata MITI dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen pada Selasa.

Kementerian menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai impak dan pelarasan industri apabila tarif timbal balas AS dikurangkan kepada 19 peratus bagi barangan eksport ke negara itu selepas 7 Ogos 2025.

Menurut MITI, pengenaan tarif dijangka memberi kesan langsung kepada permintaan terhadap produk Malaysia di pasaran AS kerana peningkatan tarif akan menyebabkan kos import yang lebih tinggi.

“Ini sekali gus membawa kepada kenaikan harga barangan di AS, di samping kemungkinan pengimport AS akan mendesak pengeksport Malaysia untuk menanggung tarif timbal balas itu,” katanya.

Menyedari impak utama kepada eksport Malaysia akibat tarif timbal balas itu, Kerajaan MADANI melalui MITI dan agensinya Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah mengambil langkah mitigasi, katanya.

Menurutnya antara langkah itu adalah melaksanakan jerayawara terhadap sektor industri yang terlibat bagi memberi penerangan berhubung pelaksanaan tarif serta peluang sokongan yang tersedia melalui agensi berkaitan seperti MATRADE.

Selain itu, MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut melaksanakan beberapa strategi dalam usaha menggalakkan pelaburan dalam sektor bernilai tinggi yang boleh menyumbang kepada pembangunan industri, ekosistem dan pengukuhan rantaian bekalan tempatan, katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan